Friday, June 27, 2008

Dr. Aziz Bari minta Pilih Undi Tak Percaya, Bubar Parlimen atau Dharurat?


Oleh TARMIZI MOHD JAM

Selayang, 27 Jun:
Profesor Dr. Abdul Aziz Bari memberikan beberapa pandangan tajam untuk Pakatan Rakyat bertindak dalam usahanya menukar kerajaan BN yang ada sekarang kepada kerajaan baru. Ikuti interbiu saya bagi pihak Harakah dengan beliau di kediamannya.

Di antara kedua-dua cara itu - yakni usul undi tidak percaya atau menarik sokongan dari pihak kerajaan - mana yang lebih baik?

Pada saya, kedua-dua formula ini kesannya sama; yakni menjatuhkan kerajaan. Soal mana yang lebih baik bergantung kepada keadaan dan senario politik yang ada. Di dalam keadaan seperti di Malaysia ini saya fikir memujuk ahli-ahli parlimen Barisan adalah lebih baik kerana risikonya lebih kecil. Risiko membawa usul undi tidak percaya di dewan agak besar kerana ia mungkin gagal. Berbeza dengan keadaan di negeri pada 1962 dan 1994 itu kita berhadapan dengan sebuah kerajaan yang mempunyai media massa dan pelbagai cara untuk mengugut dan mengelirukan orang. Kecuali Kelantan pada 1977 semua insiden yang saya sebutkan di atas didalangi dan diatur oleh Umno dan Perikatan atau Barisan Nasional.
Nampaknya Barisan Nasional tidak konsisten dalam kedua-dua soal ini; sekurang-kurangnya kalau kita mengimbas apa yang berlaku pada 1994 di Sabah dan di negeri-negeri yang kerajaannya ditumbangkan melalui undi tidak percaya.
Benar, itulah hakikat yang sukar dinafikan. Pada 1962 Umnolah yang sebenarnya menjadi dalang membeli dan memujuk ahli-ahli dewan dari Pas supaya berpaling tadah dan menyertai mereka. Kita juga tahu Umno menggunakan taktik yang sama di Kelantan selepas pilihan raya umum 2004 tetapi gagal. Di Sabah juga Umno menjadi dalang di sebalik perletakan jawatan oleh kerajaan PBS setelah ahli-ahlinya menyeberang ke pihak Barisan. Begitu juga dengan undi tidak percaya di Sarawak pada 1966 yang sebenarnya didalangi oleh Perikatan yang mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Stephen Kalong Ningkan. Ini diikuti dengan apa yang dilakukan oleh kepemimpinan Umno untuk menjatuhkan Datuk Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor pada 1976. Melihat kepada ini semua sebenarnya Umno dan Barisan Nasional tidak punya alasan untuk mempertikai dan menolak, sama ada usul undi tidak percaya atau lompat parti. Mereka biasa dan pernah melakukannya. Tetapi jelas kali ini kedua-dua cara itu tidak selari dengan kedudukan dan kemelut yang mereka hadapi. Sebab itu Umno meronta-ronta dan cuba melepaskan diri: dulu orang yang lain jadi mangsa tetapi kali ini mereka sendiri yang di dalam bahaya.

Dalam kemelut politik ini apa relevannya pembubaran dewan sebagai penyelesaian atau jalan keluar?

Pembubaran dewan bermaksud pilihan raya. Bagaimanapun di sisi undang-undang ini adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kuasa ini adalah kuasa budibicara dan ini bermakna kerajaan tidak mempunyai cara untuk memaksa atau mempengaruhi baginda. Dengan senario yang kita lihat di atas pilihan raya tidak perlu.
Di sisi undang-undang pilihan atau alternatif ini perlu diputuskan mengikut kenyataan dan senario yang ada. Ini tidak boleh dilakukan sesuka hati. Yang jelas pilihan raya memakan biaya yang besar dan ia harus dielakkan sedapat yang mungkin. Selain itu saya ragu kita dapat mengadakan sebuah pilihan raya yang adil dan telus. Ini juga perlu dipertimbangkan. Melihat kepada kepincangan yang ada di dalam sistem pilihan raya kita faham mengapa SPR dan Barisan begitu bersungguh-sungguh mahukan ia diadakan.
Bagaimanapun apabila harga barang dan harga petrol naik mereka tiba-tiba membisu. Saya fikir mereka sedar bahawa dengan perubahan senario pilihan raya tidak lagi menguntungkan mereka. Malah mungkin berbahaya dan mungkin membawa “maut”. Apa pun saya tidak hairan jika kerajaan Barisan memikirkan soal kepentingan mereka kerana mereka adalah ahli politik. Tetapi wajarkah pihak SPR juga berfikiran begitu?
SPR sepatutnya membuat keputusan berdasarkan undang-undang. SPR tidak harus menari mengikut gendang Barisan. Saya terkejut apabila SPR bercakap soal pilihan raya yang jelas disukai oleh Barisan sebelum harga petrol menjulang naik

Rafidah Juga BOLEH DIDAKWA Kalau Ikut Jejak Yong Teck Lee


Oleh TARMIZI MOHD JAM

Sri Gombak, 27 Jun:
KETUA Wanita Umno, Dato’ Sri Rafidah Aziz juga akan didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sekiranya beliau bertindak keluar parti menentang Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi seperti yang dihadapi oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hanifa Maidin, menegaskan tindakan BPR memanggil Yong ke pejabat badan itu di Sabah untuk disoalsiasat berkenaan pembayaran RM5 keuntungan daripada penjualan saham-saham yang dimiliki sebuah syarikat milik kerajaan negeri kepada agen-agen pilihan raya sewaktu beliau mengetuai Sabah pada 1996, boleh dianggap sebagai ancaman kepada tokoh-tokoh lain untuk meninggalkan BN.
Kerjaan Bn bakal tumbang jika sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat, atau turut menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri bersama-sama 82 ahli parlimen pembangkang.
“Mengapa sekarang baru disoalsiasat. Kes ini sudah 10 tahu berlalu. Adakah kerana dia bertindak keluar komponen BN dan menentang PM, maka tindakan ke atasnya dipercepat atau akan diambil?” tanya beliau.
Hanipa, yang juga seorang peguam berkata, jelas dari apa yang terjadi dari kes ini, BPR masih lagi dijadikan alat untuk mengancam musuh-musuh politik Perdana Menteri agar menutup mulut atau diambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
“Bukan sahaja Rafidah, malah orang seperti Rahim Tamby Chik juga mungkin terpaksa melutut dan berdiam diri bagi mengelak kes-kes lamanya terbongkar jika bertindak menentang Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau yang dihubungi yakin, Yong antara pemimpin BN yang berani untuk berdepan risiko politik dari tindakannya meninggalkan BN berbanding pemimpin-pemimpin lain yang pernah diuar-uarkan terbabit dengan skandal rasuah.
Hanipa mengulangi dengan tegas agar BPR diletakkan terus di bawah pengawasan Parlimen dan tidak lagi terikat dengan kepentingan Perdana Menteri seperti hari ini. Katanya, ia bertujuan untuk mengawasi segala salah laku rasuah di kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan secara telus.

Pakatan perlu JALAN PINTAS untuk bentuk kerajaan?


By TARMIZI MOHD JAM

Selayang, 27 Jun:
PAKATAN Rakyat perlu memikirkan jalan yang lain untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Begitulah pendapat Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas pelbagai masalah prosedur yang dibangkitkan oleh para penyokong Barisan Nasional. Aziz berkata Perlembagaan sendiri tidak menyebut dengan jelas di dalam Perkara 43(4).
“Apa yang peruntukan tersebut mahu ialah sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti di dalam dewan maka beliau mesti meletakkan jawatan bersama dengan seluruh anggota kabinetnya,” jelas beliau.
Menurut beliau, kebiasaannya, sebagaimana yang telah berlaku sebanyak tiga kali di Malaysia setakat ini – 1966, 1976 dan 1977 – penarikan sokongan itu dibuat dengan mengusulkan undi tidak percaya.
Bagaimanapun, kata Aziz lagi, oleh kerana kerajaan yang ada dikenali dengan sebuah kerajaan yang tidak komited dengan kedaulatan undang-undang maka Pakatan Rakyat perlu memintas mereka dengan mengisytiharkan penarikan sokongan itu di luar dewan.
Pakar perlembagaan itu berkata cara ini dibenarkan oleh undang-undang sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Privy di London pada 1963. Dalam kes Adegbenro lawan Akintola itu hakim-hakim di majlis tersebut menerima perisytiharan hilang kepercayaan yang dibuat di luar dewan.
“Sebaik-baiknya cara yang paling bermaruah ialah dengan mengusulkan undi tidak percaya. Bagaimanapun di dalam keadaan yang ada sekarang Pakatan perlu bijak kerana jika tidak mereka akan ditewaskan oleh prosedur dan formality yang memang telah menjadi taktik kerajaan yang ada dalam pelbagai isu,” tegas Aziz.
Profesor undang-undang itu berkata Pakatan boleh menyenaraikan nama sekurang-kurangnya 112 orang ahli parlimen yang bersama mereka dan menyembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong bersama dengan calon atau beberapa calon Perdana Menteri untuk diperkenankan sebagai ketua kerajaan persekutuan yang baru.
Aziz berkata sebuah kerajaan baru yang bebas dari pelbagai keraguan dan spekulasi perlu supaya negara dapat bergerak ke hadapan.
“Adalah malang kerana selepas lebih tiga bulan kita mengadakan pilihan raya, kita masih tertanya-tanya apakah kerajaan yang ada sekarang akan kekal atau sebaliknya,” katanya lagi.
Beliau berkata Barisan Nasional boleh juga membuat langkah yang sama. Apa pun, Aziz menambah, adalah lebih baik jika kesemua mereka yang memberikan sokongan itu tampil ke muka dan memberi pengakuan sokongan dan jaminan tidak akan belot.

Jangan RUNDING Umno, Jahanam Kita (PAS)! - Nik Aziz


By MUHD NAIM

Kota Bharu, 27 Jun:
Harakahdaily melaporkan, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan parti itu akan menghadapi masalah apabila meneruskan cadangan berunding dengan Umno.
"Mengadakan pakatan PAS dan Umno sebagaimana sebelum ini akan berlaku seperti di Kelantan pada tahun 1970-an di mana wujudnya Berjasa dan Bebas pada waktu itu.
"Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan Umno, jahanam habislah.. bahkan Muktamar PAS yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong.
"Oleh yang demikian saya ulangi dan tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersama beberapa pemimpin lain bergegas ke Kuala Lumpur petang tadi bagi menghadiri mesyuarat tersebut.
Menurutnya mesyuarat itu akan membuat keputusan berhubung dakwaan kononnya akan berlaku kerjasama PAS dengan Umno.
"Masalah besar iaitu perpecahan dalam PAS sebagaimana sebelum ini akan berlaku akibat kerjasama seperti yang dijalinkan suatu ketika dahulu," ujarnya.
Sedangkan kata beliau tokoh-tokoh Umno Kelantan telah menyertai PAS sebelum pilihan raya umum yang menggambarkan PAS kini semakin mendapat sokongan semua pihak.
Tambah beliau rakyat Kelantan di luar negara juga turut menyatakan sokongan terhadap PAS kerana mereka yakin terhadap perjuangan parti itu.

TG Nik Aziz akhiri usaha PAS Rundingi Umno


Oleh MOHD SHAH RASHID

Taman Melewar, 27 Jun:
Penarik Beca yang membongkar usaha beberapa pemimpin PAS untuk mengadakan kerjasama PAS dengan Umno berasa lega dengan kenyataan berani Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat agar PAS menghentikan usaha tersebut kerana ia akan menjahanamkan parti.
Ulasnya, Utusan Malaysia hari ini melaporkan berita bertajuk "Pas tidak boleh berunding dengan Umno - Nik Aziz". Antara lain, Tok Guru yang dikasihi berkata:
''Saya nak tegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perjumpaan dan perundingan dengan Umno kerana masalah besar (perpecahan) akan berlaku dalam parti''.
Saya mempersembahkan kesyukuran kepada Allah. Hanya itu sahaja harapan saya sebelum ini - tidak ada persepakatan politik antara PAS dan Umno.
Oleh kerana semua orang adalah manusia biasa, saya merayu kepada Allah s.w.t. yang dikasihi agar Ia menjadikan sikap Tok Guru itu sikap yang kebal dan tahan uji. Yang penting ialah tidak berlaku persepakatan politik antara PAS dan Umno.
Seperti yang nyatakan, saya mula mendapat tahu mengenai perundingan itu beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu (saya tak ingat dengan tepat berapa bulan). Perkara itu diceritakan oleh seorang menteri (tidak dilantik semula sebagai menteri selepas pilihan raya umum lalu) dan seorang timbalan menteri (dilantik sebagai menteri penuh selepas pilihan raya umum lalu).
Seorang menteri besar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno yang secara kebetulan saya temui juga memberikan isyarat mengenai perkara itu. (Semuanya kebetulan. Kebetulan jumpa, kebetulan tahu).
Selepas itu, saya adukan perkara itu kepada tiga orang pemimpin PAS. Saya tidak tahu dan tidak peduli sama ada mereka percaya kepada saya atau tidak.
Tidak lama selepas itu, Muda Mohd Noor menulis berita Malaysiakini bertajuk "PAS-Umno bincang isu Melayu-Islam" (lihat pandangan Allahyarham Rustam A Sani bertajuk "Perundingan belakang tabir PAS-Umno?"). Saya terlupa nak simpan laporan awal yang belum dipinda. Yang ada kini sudah dipinda.
Saya tak sempat lagi nak bersembang panjang dengan Muda walaupun beberapa perkara telah beliau beritahu kepada saya. Persoalan penting untuk ditanya, berapa kali Muda tersalah petik atau misquote orang?
Kalau Zubaidah Abu Bakar yang menulis berita bertajuk "Pas will not 'sleep with the enemy' again" tahu, kalau Raja Petra Kamarudin tahu, kalau Mat Saman Kati tahu dan lebih dari itu, kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu (itulah yang diberitahu oleh seorang tokoh peringkat pertengahan Keadilan yang bersembang panjang untuk mengail maklumat dari saya walaupun akhirnya saya pula yang menjala maklumat dari beliau), takkan saya tak tahu sikit kerana saya menyelongkar maklumat mengenai perkara itu jauh lebih awal sebelum Muda menulis berita Malaysiakini itu.

BACAAN PENUH DI PENARIK BECA.COM

Tuesday, June 24, 2008

YB Ibrahim Ali "merajuk" di Parlimen?


Oleh ISWAN ZAMRI

Kuala Lumpur, 24 Jun:
Mstar melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali 'merajuk' setelah beberapa kali bangun untuk membahaskan usul kenaikan harga minyak tetapi tidak diberi peluang.
Ibrahim seolah-olah merajuk apabila untuk kali keenam beliau tidak diberi peluang berbahas walaupun setiap kali beliau adalah antara yang terawal bangun, sebaliknya ahli Parlimen Ledang Hamim Samuri diberi peluang oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Dr, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ibrahim akhirnya membangkitkan peraturan mesyuarat yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen yang paling awal bangun sepatutnya diberikan peluang untuk berbahas.
"Tuan Yang Dipertua, saya minta ditukarkan tempat duduk saya. Saya duduk di sini, tiap kali saya bangun, tapi Yang Dipertua tak nampak sedangkan sebelum saya jadi ahli Bebas, saya adalah ahli Parlimen yang dikira kanan.
"Kalau tak mahu pakai peraturan mesyuarat saya baling saja buku ni," katanya sambil menunjukkan buku kecil peraturan mesyuarat yang dibekalkan untuk semua ahli Parlimen.
Beliau kemudian menghempaskan buku itu ke mejanya dan terus berjalan keluar dari Dewan Rakyat, tetapi masuk semula kira-kira 10 minit kemudian sebelum Hamim menamatkan perbahasannya.
Junaidi kemudian membenarkan Ibrahim untuk mengambil bahagian untuk menjadi pembahas ketujuh.

Yahya Shahri letak jawatan, dijadual jumpa Anwar hari ini


Oleh MUHD NAI'M

Shah Alam, 24 Jun:
Malaysiakini melaporkan pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Yahya Shahri meletakkan jawatannya itu atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".
Yahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang tadi, juga melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan PKR Selangor.
Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."
Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang tadi.
Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.
Abdul Khalid semalam mengirim mesej SMS kepada Yahya memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya hari ini bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."
Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai ketua perhubungan PKR Selangor.
Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACAAN LANJUT DI KLPOST.COM

Speaker tiada kuasa sekat undi tak percaya


Oleh TARMIZI MOHD JAM

KUALA LUMPUR, 19 Jun:
Speaker Dewan Rakyat sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat usul undi tidak percaya yang dikemukakan di Parlimen.
Perkara ini ditegaskan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar Perlembagaan ketika dihubungi ekoran pendapat yang menyatakan bahawa Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul tersebut selain beberapa sebab teknikal yang lain.
Sebelum itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, melahirkan rasa ragu beliau meskipun ahli parlimen veteran itu berpendapat, tindakan SAPP semalam mempunyai implikasi politik yang penting.
Aziz, pensyarah UIAM menjelaskan kedudukan kerajaan di bawah sistem demokrasi berparlimen ditentukan oleh sokongan majoriti dan apabila timbul persoalan mengenainya maka dewan perlu diberi peluang untuk mempastikan soal itu.
Soal-soal teknikal perlu dikesampingkan kerana ini adalah soal yang melibatkan sama ada kerajaan yang ada boleh kekal atau meletakkan jawatan. Aziz memberi beberapa hujah untuk menyokong pendapatnya itu.
Yang pertama hujahnya, ialah soal sokongan majoriti itu penting sebagaimana yang disebut oleh Perlembagaan dalam beberapa peruntukan bermula dengan Perkara 43(2)(a). Ini diikuti oleh Perkara 43(4) yang mewajibkan Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya beliau kehilangan sokongan majoriti.
Yang kedua ialah bahawa kuasa Speaker adalah berdasarkan peraturan tetap dewan (standing orders) yang dibuat berdasarkan Perkara 62(1). Dengan kata lain adalah tidak munasabah jika undang-undang kecil mengatasi Perlembagaan. Beliau berhujah ini tidak selaras dengan Perkara 4(1) yang meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Yang ketiga kuasa mutlak Speaker adalah berhubung dengan perjalanan mesyuarat dewan tidak harus disalahgunakan untuk menyelamatkan kerajaan yang kehilangan kekuatan untuk memerintah.
Aziz menegaskan jika Speaker dibenarkan menyekat usul tidak percaya maka sistem demokrasi berparlimen - di mana kerajaan dilantik berdasarkan sokongan majoriti di dalam dewan - akan hancur.
Ini juga membawa makna konsep kerajaan bertanggungjawab (responsible government) yang sentral di dalam demokrasi Westminster tidak terlaksana.
Yang keempat, hujah Aziz lagi, dakwaan mengenai kuasa Speaker itu bertentangan dengan amalan yang konsisten setakat ini.
Pensyarah UIAM itu berkata setakat ini sudah tiga kali kerajaan tumbang di tangan undi tidak percaya di Malaysia . Beliau menegaskan kedua-dua Persekutuan dan Negeri mempunyai undang-undang yang sama.
Perletakan jawatan kerana gagal dalam usul tidak percaya berlaku buat pertama kalinya di Sarawak pada tahun 1966 melibatkan Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Kemudian ia diikuti oleh perletakan jawatan oleh Menteri Besar, Dato Harun Idris di Selangor pada tahun 1976 yang diundi tidak percaya oleh partinya sendiri. Insiden yang sama berlaku di Kelantan pada tahun 1977 apabila Menteri Besar Dato Mohamed Nasir berbalah dengan partinya sendiri.
Aziz mengharapkan semua pihak, termasuk Speaker, perlu memberi laluan kepada proses yang telah pun secara konsisten diamalkan di seluruh dunia Komanwel. Jika ia disekat Malaysia akan ditertawakan oleh dunia.

BN tidak boleh bertindak membelakangi YDP Agong


Oleh TARMIZI MOHD JAM

KUALA LUMPUR, 20 Jun:
Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan parti-parti politik supaya tidak bertindak membuta tuli dalam menghadapi kemelut politik negara dengan membubarkan Parlimen atau mengisytiharkan darurat.
Beliau menegaskan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat penting di dalam mententeramkan keadaan politik yang tidak menentu sekarang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan apa yang akan berlaku, selepas Parti Maju Sabah (SAPP) yang dipimpin Dato' Yong Teck Lee mengisytiharkan partinya akan membawa atau menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.
Ekoran tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai spekulasi telah timbul. Ini termasuklah tindakan mengadakan pilihan raya mengejut oleh BN untuk menyelamatkan dirinya.
Selain itu, tegas beliau, ada yang bimbang bahawa perisytiharan darurat akan dibuat bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan BN melalui undi tidak percaya di parlimen.
"Oleh kerana kemungkinan-kemungkinan itulah maka Perlembagaan secara idealnya memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak bebas dari nasihat atau pengaruh kerajaan yang memerintah," tegas Aziz.
Beliau yang juga pakar Perlembagaan, mengingatkan bahawa kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan tidak harus disamakan dengan cop getah yang perlu melaksanakan apa sahaja yang diminta oleh kerajaan.

BACAAN LANJUT DI HARAKAHDAILY.NET

Ahli Parlimen SAPP tak hadir kerana diancam?

KUALA LUMPUR, 24 Jun: Harakahdaily melaporkan Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP) Dato' Dr. Chua Soon Bui dan Dato' Eric Majimbun yang menjadi fokus wartawan di parlimen semalam tidak kelihatan sebagaimana yang dijangkakan.
Kedua-dua Ahli Parlimen tersebut yang dikatakan sebagai orang kepercayaan Presiden SAPP, Dato' Yong Teck Lee dilaporkan oleh Mstar telah menerima ugutan sehingga menyebabkan mereka tidak berada di Dewan Rakyat sepanjang hari semalam.
Demikian jelas Yong yang mendakwa Chua dan Eric serta pembantu mereka, menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ancaman.
Beliau berkata, berikutan perkembangan membimbangkan kebelakangan ini, SAPP telah mengambil langkah tambahan bagi menjamin keselamatan Anggota Parlimennya dengan memanggil mereka ke ibu pejabat parti itu di sini untuk membincangkan tindakan selanjutnya yang perlu diambil.
Perbincangan ini akan bertumpu pada keselamatan diri, keluarga dan pejabat mereka, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kota Kinabalu semalam.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, sejak SAPP mengumumkan keputusannya untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Rabu lepas, perkembangan yang berlaku dalam tempoh 24 jam lepas, mencetuskan suasana tidak selesa.
Mengenai cakap-cakap kononnya satu demonstrasi akan diadakan di depan pejabat SAPP di Tawau hari ini, Yong berkata, pegawai parti itu di Tawau telah dinasihati supaya membuat laporan polis mengenainya, tidak melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penunjuk perasaan dan mengambil cuti sehingga keadaan kembali tenang.
Sehingga petang semalam, laporan Bernama menyebut, kedua-dua Ahli Parlimen itu Eric dan Chua , yang diuar-uarkan akan menyokong undi tak percaya itu, tidak kelihatan di dewan.
Eric yang dihubungi memberitahu beliau telah pulang ke Sabah kerana melawat seorang saudara yang meninggal dunia, manakala Chua tidak dapat dihubungi.
Bagaimanapun mStar Online difahamkan Chua berada di Parlimen untuk mengambil bahagian dalam pertemuan pramajlis yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.
Dalam pada itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ditemui berkata setakat ini pejabat speaker tidak menerima sebarang usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri.

Yahya Letak Jawatan, Hilang Yakin Pada Khalid

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh): Pegawai tugas-tugas khas Menteri Besar Selangor, Yahya Shahri meletakkan jawatannya atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".
Malaysiakini melaporkan Yahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang semalam, juga melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan KeADILan Selangor.
Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."
Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang semalam.
Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.
Abdul Khalid sebelum ini mengirim mesej SMS kepada Yahya memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."
Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai ketua perhubungan KeADILan Selangor.
Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditemui selepas ucapannya kira-kira jam 10 malam, Yahya berkata beliau telah bercakap dengan presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berhubung tindakan penggantungan terhadapnya dan kedudukannya itu.
Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu mencadangkan beliau bertemu sendiri dengan Anwar.
Beliau dijadual bertemu penasihat parti itu di pejabatnya jam 2 petang esok dan dipercayai akan membawa "beberapa tuntutan."
Yahya, seorang aktivis lama KeADILan, mendakwa beliau mendapat sokongan dan berpengaruh dalam kalangan 70 hingga 80 peratus bahagian di negeri itu.

BACAAN SELANJUTNYA DI HARAKAH.NET

Monday, June 23, 2008

Kenapa Berdalih Dedahkan Perbelanjaan Keuntungan Petronas?


Oleh M FADHLOL HADI

Kuala Lumpur, 23 Jun:
Anwar Ibrahim berkata dalam blognya, seperti yang dikemukakan oleh peguam saya Karpal Singh, saya harap Hakim-Hakim akan memberikan keadilan satelah menantikan keputusan hampir 10 tahun.
Ini bukannya permohonan baru, tetapi sudah tertangguh sekian lama. Beliau berkata di Pulau Pinang pagi Isnin kelmarin dan tidak dapat mengikuti prosiding mahkamah.
Kebetulan semalam, katanya, beliau sempat mengikuti bahagian akhir temuramah bersama Tan Sri Hassan Merican, ketua eksekutif Petronas di televisyen.
"Jika dirujuk rencana saya di blog sebelum ini, diakui tahap pengurusan Petronas yang membanggakan. Saya dapat sahkan hal sedemikian selaku mantan Menteri Kewangan termasuk usaha mereka menangani tekanan politik ketika itu. Malah saya sedia maklum betapa pihak pengurusan sering saja mengeluh kesal manakala terdapat tekanan politik dalam kontrak dan bailout!" ujar beliau.
Seharusnya Petronas membedakan peranan mereka memikul amanah dengan kecaman rakyat terhadap kelembapan, dan rasuah dalam pengurusan ekonomi Kerajaan.
Apakah bermasalah buat rakyat menanyakan bagaimana hasil khazanah negara sebanyak lebih 500 bilion ringgit dibelanjakan?
Apakah janggal bagi kita menuntut agar Petronas bertanggungjawab kepada Parlimen dan tidak hanya kepada PM?
Kita mampu berhujah cara korporat, pakar ekonomi atau pemimpin politik, tetapi kita juga harus membuat perkiraan bagaimana seorang pekerja, pegawai rendah atau peladang yang punyai pendapatan RM1500 sebulan menyara hidup keluarga dengan harga minyak dan barang melambung seperti sekarang?
Soal pokok adalah pengurusan ekonomi negara, soal kontrak yang tidak telus, soal rasuah dan pembaziran! Kegagalan Kerajaan mengurus ekonomi dengan bijak menyebabkan kehidupan rakyat terus terhimpit. Berdalih semata kerana kenaikan harga minyak di pasaran dunia atau krisis ekonomi serantau amat tidak memadai.

Kes Presiden SAPP buktikan 'siasatan terpilih' BPR


Oleh MUHAMAD NAI'M

Kuala Lumpur, 23 Jun:
Pengarang Harakah, Taufik Yahya menulis pada Harakahdaily, semuanya hanya satu kebetulan, dakwa Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.
Kenyataan itu terpaksa dibuat apabila khalayak umum melahirkan kehairanan atas 'kepantasan' BPR mengeluarkan kenyataan media berhubung siasatan rasuah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee 24 jam selepas parti komponen BN itu menyatakan hasrat mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Menurut Ahmad, apa yang berlaku hanya 'satu kebetulan' dan tindakan badan itu untuk menyiasat kes tersebut tidak ada kena-mengena dengan situasi politik tanah air masa sekarang.
"Kebetulan pada dua hari lalu, saksi utama kes Tan Sri Kasitah Gadam iaitu Datuk Wasli Mohd Said menimbulkan keterangan baru yang beliau (Wasli) pernah beberapa kali diarah membayar wang yang keseluruhannya berjumlah RM5 juta kepada ejen-ejen Yong.
"Justeru, BPR sebagai badan penguat kuasa undang-undang berhubung pencegahan rasuah mesti mengambil tindakan dan kita telah pun memulakan siasatan.

BACAAN LANJUT DI HARAKAHDAILY.NET

Benarkah PAS akan bekerjasama dengan BN?


Oleh MOHD SHAH RASHID

Kuala Lumpur, 23 Jun:
Blogger Penarik Beca terus "mendedahkan" kononnya PAS sedang berkira-kira untuk mengadakan hubungan kerjasama bersama musuh ketatnya BN muktakhir ini melalui posting "Pergi London Kerana Nak Peluk Umno?".
Penarik Beca
mengandaikan, anggapan itu menyebabkan mereka melompat kepada keputusan bahawa berkerjasama dengan Umno adalah akhafu al-darurain atau lebih ringan mudaratnya. Ahli dan penyokong PAS berhak bertanya apakah alasan mereka menyatakan bahawa itu adalah akhafu al-darurain?
Adakah mereka membuat kajian yang melampaui keraguan yang munasabah bahawa kerjasama dengan Umno itu memang sebenar-benarnya akhafu al-darurain? Paling memeningkan, adakah tokoh-tokoh Ikhwan yang ingin ditemui seperti Mustafa Tahan dan Faisal Mahlawi tergolong dalam kumpulan pakar dan specialist dalam mengenalpasti akhafu al-darurain di Malaysia?
Adakah orang-orang seperti Mustafa Tahan atau Faisal Mahlawi kini menjadi doktor pakar yang hebat memberi ubat kepada Umno yang sedang sakit dan menjerit? Kalaupun benar mereka adalah pakar yang mempunyai ubat untuk merawat gelejat Umno, apa pula yang mendorong Tuan Guru Presiden, Timbalan Presiden (yang dijangka menyertai rombongan itu sekembalinya dari seminar Commonwealth Parliamentary Association di Brussels) Haji Mustafa Ali dan Ustaz Harun Taib (Ustaz Dr Harun Din tak dapat pergi dan dikatakan akan digantikan) pergi menemui mereka untuk meminta nasihat mengenai kerjasama dengan Umno.

BACAAN LANJUT DI PENARIK BECA.COM

Thursday, June 19, 2008

Tian Chua Gempur PPR Batu Muda Ampat Tin 21 Jun

Oleh MOHD SHAH RASHID

Kg. Batu Muda, 19 Jun:
Ahli Parlimen Batu yang juga Ketua Penerangan PKR Pusat, Tian Chua akan menggempur PPR Batu Muda Ampat Tin, dalam satu Ceramah Perdana Pakatan Rakyat pada Sabtu, 21 Jun ini jam 9.00 malam.
Menurut Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, Rozan Azen Mat Rasip, ceramah tersebut diadakan bagi menjelaskan kepada rakyat berkenaan tanggungjawab Pakatan Rakyat dalam membela nasib yang menimpa mereka.
Program yang akan diadakan di kawasan padang PPR itu, turut menurunkan kartunis reformasi yang juga Ketua Pengarang Suara KeAdilan, Zunar, Ketua Pemuda PKR Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Zamri, Exco Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Orang ramai dan penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir beramai-ramai.

Rebutlah! Kursus Sijil Asas Pengajian Muamalat Fiqh anjuran Yayasan Muslimin


Oleh TARMIZI MOHD JAM

Bandar Sri Gombak, 19 Jun:
Bagi mereka yang tercari-cari pengetahuan tentang Muamalat Islam secara berjadual, atau ingin mendalaminya; anda boleh mengikuti terus kursus peringkat Sijil Asas Pengajian Fiqh Muamalat hanya dengan yuran semudah RM50 sebulan.
Kursus ini dianjurkan oleh Yayasan Muslimin Malaysia Berhad (YMMB) selama 28 minggu bermula 2 Julai depan dan berakhir pada 25 Mac 2009. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat, kakitangan institusi kewangan, anggota koperasi dan kepada mereka yang bukan Islam sangat-sangat dialukan.
Demikian dimaklumkan oleh Penyelaras Program, Cikgu Mohd Noor kepada media. Katanya, kelas akan diadakan di Pejabat YMMB, No. 11c, Jalan SG 3/17, Pusat Bandar Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor (Tel: 03-61884064 atau emel: ymmb@streamyx.com).
Antara tajuk-tajuk yang akan diajar termasuklah jual beli, Khiyar (pemilihan), Bai'Al-Inah, Al-Qardhul Hasan, Mudharabah, simpanan, Musyarakah, jaminan, gadaian, riba, rugi dan penipuan, jual beli ditegah, jualan Al-Salam, tukar mata wang, sewa dan upah, sewa kemudian beli, jual beli hutang, pemindahan hutang dan wakil mewakil.
Cikgu Mohd Nor menegaskan objektif kursus peringkat sijil ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada umum sebahagian daripada ilmu Islam mengenai perkara-perkara asas Muamalat.
Ia juga untuk memberi kefahaman tepat tentang Muamalat mengikut lunas Islam disamping menimbulkan kesedaran umum tentang tanggungjawab ummah dalam mencari dan menggunakan harta ke arah jalan yang diredhai Allah.
Untuk keterangan lanjut, anda yang berminat boleh terus hubungi YMMB pada talian 03-61884064 atau 013-2858575 (En Zakaria Hassan). Tarikh tutup pada 27 Jun 2008.

Ustaz SHARIL LONG di Taman Desa Bakti, 21 Jun

Oleh ABDUL MANAN GHANI

Selayang, 19 Jun: Pendakwah bebas bersuara lantang, Ustaz Sharir Long dari Kedah akan menyampaikan ceramah perdananya di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Desa Bakti, Selayang pada 21 Jun 2008 bersamaan hari Sabtu, selepas solat Maghrib.
Ustaz Sharir akan mengupas tajuk "Islam dan Iman Hendaklah Dibuktikan Dengan Amalan".
Orang ramai, muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai ke program anjuran Jawatankuasa Pengajian madrasah ini bagi meningkatkan ilmu dan mengimarahkan tempat ibadah disamping mengeratkan ukhwah Islamiyah setempat.

Ceramah Perdana Ustaz Subri Arshad di Taman Dato' Harun


Oleh ABDUL MANAN GHANI

Taman Dato' Harun, 19 Jun: Penentang Perdana Menteri dalam pilihan raya umum lalu di kerusi Parlimen Kepala Batas, Al-Fadhil Ustaz Mohd Subri Arshad akan memberikan Ceramah Perdananya di Surau Hujriyah Taman Dato Harun, Jalan Klang Lama pada 21 Jun ini, Sabtu selepas solat Maghrib.
Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Lajnah Agama Surah Hujriyah, Zamzuri Mohd Jam dalam kenyataan pendeknya kepada media internet.
Orang ramai sekitar Petaling Jaya Selatan dijemput datang memenuhi surau berkenaan. Program ini adalah sebahagian dari langkah mengimarahkan surau disamping memartabatkan ilmu kepada kariah setempat.
Ustaz Subri adalah pendakwah bebas yang sering diundang menjadi panelis Rancangan Forum Perdana Ehwal Islam terbitan RTM suatu ketika dulu bersama tokoh-tokoh agama seperti Dato' Dr. Harun Din, Dato' Ismail Kamus, Dato' Dr. Hassan Mohd Ali dan Dato' Dr. Marshitah Ibrahim.

Rakyat Mula Menilai Tentang Delivery System Kerajaan Pakatan Rakyat!

Kuala Lumpur, 19 Jun: Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub melihat perubahan yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat telah membina persepsi positif, baru dan efisyen di kalangan rakyat berbanding apa yang ditonjolkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Pengarang Isu Khas Harakah, Tarmizi Mohd Jam bersama dua pemberita pelatih, NUHA RAHIM dan ZIERA RAHMAN menjolok minda Ahli Parlimen Kubang Krian ini dalam sorotan 100 hari kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Interbiu ini telah disiar dalam ISU KHAS HARAKAH terbitan 18 Jun 2008.

Maksudnya jalan kerjasama makin terbentang, perbezaan kian menguncup?

Alhamdulillah selepas 100 hari yang pertama, walau apapun tanggapan sebelum ini, PAS dengan DAP tidak mungkin boleh bersatu. Tidak boleh bekerjasama. Banyak serangan tentang isu Negara Islam. Hakikatnya selepas 100 hari, disemua negeri ini kita membentuk kerajaan. Lebih dinamik lagi di Perak. PAS paling minoriti tetapi apapun faktor -- istana, perlembagaan negeri, PAS diberikan kepercayaan untuk menerajui negeri. Menteri Besar dari PAS. Ini yang saya katakan dinamiknya fenomena yang berlaku itu. Di Selangor kita menjadi rakan kongsi utama di dalam Pakatan Rakyat.
Ia hasil daripada kebijaksanaan dan ketajaman pemikiran politik pemimpan PAS yang telah membentuk dan sudah tentu dengan kerjasama dan permuafakatan dengan PKR dengan DAP itu sendiri.
Kedua, rakyat telah memberikan undi dan mandatnya sedemikian rupa.Dalam istilah Inggerisnya dikatakan the people has spoken. Oleh itu, pada saya pemikiran PAS, PKR dan DAP yang all the while ini, selama ini kita adalah pembangkang. Tetapi, apa yang menariknya selepas PRU-12, kita boleh membina kerajaan, kerajaan tidak runtuh. Bila kita melihat satu paradigm shift, satu anjakan paradigma di mana pimpinan-pimpinan daripada PAS, PKR dan DAP, tidak lagi boleh selama-lamanya memiliki minda bangkangan semata-mata.
Sebab itulah kita melihat PAS, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim serta pimpinan lain bersatu. Kita telah mula membentuk apa yang dikatakan satu mind set di mana kita adalah government in the waiting, kerajaan menanti.

Tidak perlu lagi membangkang?

Pada saya sikap bangkangan yang duduk dalam paradigma sebelum ini, mesti dianjakkan kerana kita telah ada lima negeri dan disinilah kita mula melihat perubahan-perubahan yang agak drastik dilakukan.
Kita lihat Lim Guan Eng berfikir. Cara Tan Sri Khalid Ibrahim berfikir dan cara Ustaz Azizan, Ir Mohd Nizar sebagai MB yang baru dan juga sudah tentu Tok Guru Nik Aziz yang sudah tidak punya masalah untuk absorb segala benda-benda baru ini.
Bukan kecil lagi. Kita telah membuktikan kepada rakyat bahawa apapun masalah sebelum daripada ini, yang orang mengatakan mungkin mustahil PAS boleh duduk bersama dengan DAP ini, tapi hakikatnya kita duduk sekarang.
Saya tidak nafikan masih wujud lagi masalah sampingan di sepanjang perjalanan kita ini. Tapi ianya masih boleh diselasaikan. Kerajaan ini masih tetap lagi di atas orbitnya, Dalam orbitnya untuk meneruskan urus tadbir ini. Itulah dinamika dalam era ini yang saya melihat begitu menarik.

BACAAN LANJUT DI SANGGAHTOKSAGO.COM

Pakatan Rakyat: Seratus Hari PECAH HALANGAN Minda

Menung KHAMIS
Oleh MAULANA PURNAMA

Kuala Lumpur, 19 Jun: Kalau BN memperlihatkan dominasi Umno, perkara yang sama tidak berlaku dalam Pakatan. Tidak ada parti yang mendominasi. Contoh klasik ialah di Perak. Menteri Besarnya ialah dari PAS sementara Exconya kebanyakannya dari DAP. Sedangkan di peringkat keseluruhan Pakatan, ketuanya datang dari PKR.
Dua isu penting timbul sepanjang 100 hari lalu. Pertama isu penternakan babi di Selangor dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang. Ia merupakan isu-isu yang amat dialu-alukan oleh BN bagi memburuk-burukkan PR. Namun begitu, kenyataan-kenyataan PAS khusunya Nik Abdul Aziz mengenai kebebasan orang bukan Islam menternak babi dan Abdul Hadi Awang bahawa DEB yang ditolak adalah sifat-sifatnya yang mengandungi rasuah.
Maknanya, kehadiran PR sebagai kerajaan-kerajaan negeri telah menampilkan kaedah hubungan politik antara kaum yang terbuka dan dapat diterima. Kalau dalam BN, kesemuanya dipendamkan melalui mesyauarat dalaman yang akhirnya tidak mendatangkan rasa puas hati kepada mana-mana pihak, khususnya bukan Melayu kerana sifat dominan Umno.
Maknannya DAP, PKR dan PAS yang saling bergantung antara satu sama lain menjadikan hubungan antara kaum di peringkat politik lebih memprihatinkan. Maknanya, ketiga-tiga parti PKR, DAP dan PAS muncul sebagai parti berbilang kaum dan tidak menjaga kepentingan kaum-kaum mereka saja.

BACAAN LANJUT DI SANGGAHTOKSAGO.COM