Thursday, June 12, 2008

PAS Sokong Syor MCA Hapuskan Cukai Jalan

Oleh TARMIZI MOHD JAM

Kuala Lumpur, 12 Jun:
Harakah melaporkan, PAS menyokong penuh cadangan MCA Selangor yang diutarakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Kiat agar pihak kerajaan menghapuskan terus cukai jalan bagi semua kenderaan dan tol khususnya di Selangor.
Menurut Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Haji Anuar Tahir cadangan itu sekalipun disuarakan oleh MCA, PAS secara prihatin dan amat peka dengan kegelisahan dan penderitaan rakyat, amat mengalu-ngalukan agar pihak kerajaan mempertimbangkan syor tersebut.
Namun katanya, PAS menyeru penghapusan tol tidak tertakluk di Selangor sahaja tetapi merangkumi seluruh negara. Malah tegasnya, cukai-cukai lain seperti cukai pintu, cukai penjaja termasuk cukai letak kereta di pejabat kerajaan patut dihapuskan.
“Kita pelik, parking kereta terpaksa kita bayar di perkarangan atau komplek kerajaan. Rakyat angkat kerajaan itu, tapi bila ada urusan, terpaksa rakyat tanggung kos parking,” tegas beliau.
Langkah itu, jelasnya, sebagai permulaan untuk meringankan beban kewangan rakyat ekoran kenaikan harga barang bakar dan kemungkinan kenaikan tarif tenaga elektrik tidak lama lagi.
Ong dalam sidang akhbarnya menyebut, sebagai Menteri Pengangkutan beliau memberi perhatian terhadap suara akar umbi dan akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Kabinet tidak lama lagi.
Mengulas lanjut syor tersebut, Anuar yakin, jika langkah itu dapat dilaksanakan, bebanan kos hidup rakyat mampu dikurangkan sekalipun kenaikan harga minyak baru-baru ini akan menaikkan harga lebih banyak lagi perkhidmatan dan barangan lain.
Tegasnya, sekalipun langkah tersebut dilihat sebagai taktik dan usaha BN untuk menggamit simpati dan undi dari rakyat, namun bagi PAS ia tetap menguntungkan semua pihak.
PAS katanya, tidak teragak-agak untuk menyokong cadangan yang baik untuk kesejahteraan rakyat terutama kepada golongan pekerja yang berpendapatan rendah sama ada mereka yang menetap di bandar mahupun luar bandar.

1 comment:

Anonymous said...

subsidi nak banyak, duit taknak kuar..

"kerajaan sakit paler nak cari duit"