Thursday, June 12, 2008

Wartakan Segera Kampung Melayu Sebagai "Kampung Warisan"

Oleh TARMIZI MOHD JAM

Sentul, 12 Jun: Harakah melaporkan, Majlis Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (MUAFAKAT) menuntut agar pihak kerajaan mewartakan kampung Melayu sebagai Kampung Warisan dan mewujudkan semula jawatan Ketua Kampung yang telah dihapuskan.
Tuntutan tersebut dicapai sebulat suara dalam mesyuarat tergempar MUAFAKAT yang diadakan di Madrasah Tarbiyyah, Kg. Bandar Dalam, yang membabitkan enam buah kampung dalam Mukim Setapak bagi menyelamatkan kampung-kampung tradisi Melayu tersebut dari ditelan arus pembangunan komersial.
Enam kampong yang menubuhkan MUAFAKAT termasuklah Kg. Bandar Dalam, Kg. Padang Balang, Kg. Sungai Mulia, Kg. Sungai Merali, Kg. Chubadak dan Kg. Puah.
MUAFAKAT berjaya menyatukan penduduk enam kampong tersebut tanpa mengira anutan parti politik ekoran kebimbangan serius mereka terhadap cadangan melalui Perancangan Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2008 yang mahu mewujudkan landasan LRT merentasi kampung tersebut.
Pengerusi MUAFAKAT yang juga Ketua Kg. Bandar Dalam, Haji Ishak Surin, ketika ditemui memberitahu kejayaan mereka menubuhkan MUAFAKAT sebagai signal penyatuan penduduk terhadap usaha mempertahankan kampung warisan mereka.
Katanya, tiada apa-apa agenda peribadi di sebalik penubuhahan MUAFAKAT melainkan ia sebagai suatu wadah perjuangan penduduk untuk mempertahankan kampung mereka dari dinadai dengan pelbagai projek atas nama “kemajuan”.
Menurut Ishak, jika rancangan pembinaan landasan LRT itu terlaksana, ini bermakna kerajaan telah menipu mereka kononnya kerajaan amat prihatin dalam melindungi dan mempertahankan kampung tradisi.
“MUAFAKAT bukan menentang pembangunan dan dasar kerajaan, tetapi jangan dek kerana kemajuan itu, maka langsung meminggirkan hak dan kepentingan orang Melayu,” ujar beliau.
Tambah Ishak lagi, MUAFAKAT tetap mempertahankan kampung warisan yang satu-satunya masih kekal sehingga kini bukan sahaja sebagai kampung tradisi Melayu tetapi sebahagian dari harta pusaka tinggalan datuk nenek moyang mereka.

No comments: