Tuesday, June 24, 2008

YB Ibrahim Ali "merajuk" di Parlimen?


Oleh ISWAN ZAMRI

Kuala Lumpur, 24 Jun:
Mstar melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali 'merajuk' setelah beberapa kali bangun untuk membahaskan usul kenaikan harga minyak tetapi tidak diberi peluang.
Ibrahim seolah-olah merajuk apabila untuk kali keenam beliau tidak diberi peluang berbahas walaupun setiap kali beliau adalah antara yang terawal bangun, sebaliknya ahli Parlimen Ledang Hamim Samuri diberi peluang oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Dr, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ibrahim akhirnya membangkitkan peraturan mesyuarat yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen yang paling awal bangun sepatutnya diberikan peluang untuk berbahas.
"Tuan Yang Dipertua, saya minta ditukarkan tempat duduk saya. Saya duduk di sini, tiap kali saya bangun, tapi Yang Dipertua tak nampak sedangkan sebelum saya jadi ahli Bebas, saya adalah ahli Parlimen yang dikira kanan.
"Kalau tak mahu pakai peraturan mesyuarat saya baling saja buku ni," katanya sambil menunjukkan buku kecil peraturan mesyuarat yang dibekalkan untuk semua ahli Parlimen.
Beliau kemudian menghempaskan buku itu ke mejanya dan terus berjalan keluar dari Dewan Rakyat, tetapi masuk semula kira-kira 10 minit kemudian sebelum Hamim menamatkan perbahasannya.
Junaidi kemudian membenarkan Ibrahim untuk mengambil bahagian untuk menjadi pembahas ketujuh.

No comments: