Tuesday, June 24, 2008

Ahli Parlimen SAPP tak hadir kerana diancam?

KUALA LUMPUR, 24 Jun: Harakahdaily melaporkan Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP) Dato' Dr. Chua Soon Bui dan Dato' Eric Majimbun yang menjadi fokus wartawan di parlimen semalam tidak kelihatan sebagaimana yang dijangkakan.
Kedua-dua Ahli Parlimen tersebut yang dikatakan sebagai orang kepercayaan Presiden SAPP, Dato' Yong Teck Lee dilaporkan oleh Mstar telah menerima ugutan sehingga menyebabkan mereka tidak berada di Dewan Rakyat sepanjang hari semalam.
Demikian jelas Yong yang mendakwa Chua dan Eric serta pembantu mereka, menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ancaman.
Beliau berkata, berikutan perkembangan membimbangkan kebelakangan ini, SAPP telah mengambil langkah tambahan bagi menjamin keselamatan Anggota Parlimennya dengan memanggil mereka ke ibu pejabat parti itu di sini untuk membincangkan tindakan selanjutnya yang perlu diambil.
Perbincangan ini akan bertumpu pada keselamatan diri, keluarga dan pejabat mereka, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kota Kinabalu semalam.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, sejak SAPP mengumumkan keputusannya untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Rabu lepas, perkembangan yang berlaku dalam tempoh 24 jam lepas, mencetuskan suasana tidak selesa.
Mengenai cakap-cakap kononnya satu demonstrasi akan diadakan di depan pejabat SAPP di Tawau hari ini, Yong berkata, pegawai parti itu di Tawau telah dinasihati supaya membuat laporan polis mengenainya, tidak melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penunjuk perasaan dan mengambil cuti sehingga keadaan kembali tenang.
Sehingga petang semalam, laporan Bernama menyebut, kedua-dua Ahli Parlimen itu Eric dan Chua , yang diuar-uarkan akan menyokong undi tak percaya itu, tidak kelihatan di dewan.
Eric yang dihubungi memberitahu beliau telah pulang ke Sabah kerana melawat seorang saudara yang meninggal dunia, manakala Chua tidak dapat dihubungi.
Bagaimanapun mStar Online difahamkan Chua berada di Parlimen untuk mengambil bahagian dalam pertemuan pramajlis yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.
Dalam pada itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ditemui berkata setakat ini pejabat speaker tidak menerima sebarang usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri.

No comments: