Tuesday, June 24, 2008

Yahya Letak Jawatan, Hilang Yakin Pada Khalid

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh): Pegawai tugas-tugas khas Menteri Besar Selangor, Yahya Shahri meletakkan jawatannya atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".
Malaysiakini melaporkan Yahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang semalam, juga melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan KeADILan Selangor.
Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."
Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang semalam.
Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.
Abdul Khalid sebelum ini mengirim mesej SMS kepada Yahya memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."
Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai ketua perhubungan KeADILan Selangor.
Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditemui selepas ucapannya kira-kira jam 10 malam, Yahya berkata beliau telah bercakap dengan presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berhubung tindakan penggantungan terhadapnya dan kedudukannya itu.
Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu mencadangkan beliau bertemu sendiri dengan Anwar.
Beliau dijadual bertemu penasihat parti itu di pejabatnya jam 2 petang esok dan dipercayai akan membawa "beberapa tuntutan."
Yahya, seorang aktivis lama KeADILan, mendakwa beliau mendapat sokongan dan berpengaruh dalam kalangan 70 hingga 80 peratus bahagian di negeri itu.

BACAAN SELANJUTNYA DI HARAKAH.NET

No comments: