Tuesday, June 24, 2008

BN tidak boleh bertindak membelakangi YDP Agong


Oleh TARMIZI MOHD JAM

KUALA LUMPUR, 20 Jun:
Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan parti-parti politik supaya tidak bertindak membuta tuli dalam menghadapi kemelut politik negara dengan membubarkan Parlimen atau mengisytiharkan darurat.
Beliau menegaskan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat penting di dalam mententeramkan keadaan politik yang tidak menentu sekarang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan apa yang akan berlaku, selepas Parti Maju Sabah (SAPP) yang dipimpin Dato' Yong Teck Lee mengisytiharkan partinya akan membawa atau menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.
Ekoran tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai spekulasi telah timbul. Ini termasuklah tindakan mengadakan pilihan raya mengejut oleh BN untuk menyelamatkan dirinya.
Selain itu, tegas beliau, ada yang bimbang bahawa perisytiharan darurat akan dibuat bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan BN melalui undi tidak percaya di parlimen.
"Oleh kerana kemungkinan-kemungkinan itulah maka Perlembagaan secara idealnya memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak bebas dari nasihat atau pengaruh kerajaan yang memerintah," tegas Aziz.
Beliau yang juga pakar Perlembagaan, mengingatkan bahawa kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan tidak harus disamakan dengan cop getah yang perlu melaksanakan apa sahaja yang diminta oleh kerajaan.

BACAAN LANJUT DI HARAKAHDAILY.NET

No comments: