Thursday, June 12, 2008

Tiada Unsur Rasuah Libatkan Pegawai Kanan Pejabat Menteri Besar


Oleh NUR HIDAYATUL JANNAH

Shah Alam, 12 Jun:
Bernama melaporkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Badan Pencegah Rasuah (BPR) Selangor dalam siasatannya mendapati tiada unsur-unsur rasuah atau salah guna kuasa di kalangan pegawai kanan di pejabat beliau.
Bagaimanapun kerajaan negeri tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana individu yang disabitkan kesalahannya, katanya pada satu sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian untuk mengulas siasatan yang dilakukan oleh BPR kepada pegawai di pejabatnya berikutan laporan yang di buat oleh empat lelaki yang mendakwa mereka adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa terdapat kemungkinan salah guna kuasa atau unsur rasuah dalam pemberian kontrak pengutipan sampah di Petaling Jaya oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar.
Abdul Khalid juga berkata pegawai berkenaan akan diminta menghadiri seminar atau kursus yang berkaitan dengan integriti dan kebertanggungjawaban supaya beliau berhati-hati dalam melaksanakan tugas pada masa akan datang.
Dalam pertemuannya dengan BPR, beliau mencadangkan kepada agensi itu untuk menempatkan seorang pegawai BPR untuk mengkaji cara pentadbiran kerajaan negeri selama satu atau dua bulan agar kakitangannya dapat mengelakkan diri daripada n gejala rasuah atau salah guna kuasa.
Ini bukan perkara baru tetapi ia sudah dilaksanakan semasa beliau berkhidmat di Permodalan Nasional Bhd (PNB), katanya.
Ditanya sama ada beliau mempunyai hubungan rahsia dengan ahli perniagaan Datuk Lim Kim Hong seperti dilaporkan dalam satu laman blog, Abdul Khalid berkata:"Saya tak tahu saya ada hubungan rahsia dengan (Lim).
Sebagai seorang ahli perniagaan, sebelum ini di PNB, saya bertemu ramai kumpulan perniagaan... untuk mengatakan saya tidak kenal Datuk Lim King Hong adalah tidak benar, saya kenal beliau."
Mengenai senarai anggota majlis pihak berkuasa tempatan yang baru, beliau berkata senarai nama yang dicadangkan telah diterima dan dijangka diumumkan pada 20 Jun ini tetapi memandangkan terdapat cakap-cakap, ada antara nama yang dicadangkan itu mungkin tidak dapat mewakili pelbagai lapisan masyarakat, senarai itu akan diteliti semula.
Oleh itu katanya satu pasukan telah ditubuhkan supaya mengkaji semula nama-nama calon itu bagi memastikan keputusan pemilihan mereka kelak akan dapat dipertahankan kerajaan.

No comments: