Friday, June 27, 2008

Dr. Aziz Bari minta Pilih Undi Tak Percaya, Bubar Parlimen atau Dharurat?


Oleh TARMIZI MOHD JAM

Selayang, 27 Jun:
Profesor Dr. Abdul Aziz Bari memberikan beberapa pandangan tajam untuk Pakatan Rakyat bertindak dalam usahanya menukar kerajaan BN yang ada sekarang kepada kerajaan baru. Ikuti interbiu saya bagi pihak Harakah dengan beliau di kediamannya.

Di antara kedua-dua cara itu - yakni usul undi tidak percaya atau menarik sokongan dari pihak kerajaan - mana yang lebih baik?

Pada saya, kedua-dua formula ini kesannya sama; yakni menjatuhkan kerajaan. Soal mana yang lebih baik bergantung kepada keadaan dan senario politik yang ada. Di dalam keadaan seperti di Malaysia ini saya fikir memujuk ahli-ahli parlimen Barisan adalah lebih baik kerana risikonya lebih kecil. Risiko membawa usul undi tidak percaya di dewan agak besar kerana ia mungkin gagal. Berbeza dengan keadaan di negeri pada 1962 dan 1994 itu kita berhadapan dengan sebuah kerajaan yang mempunyai media massa dan pelbagai cara untuk mengugut dan mengelirukan orang. Kecuali Kelantan pada 1977 semua insiden yang saya sebutkan di atas didalangi dan diatur oleh Umno dan Perikatan atau Barisan Nasional.
Nampaknya Barisan Nasional tidak konsisten dalam kedua-dua soal ini; sekurang-kurangnya kalau kita mengimbas apa yang berlaku pada 1994 di Sabah dan di negeri-negeri yang kerajaannya ditumbangkan melalui undi tidak percaya.
Benar, itulah hakikat yang sukar dinafikan. Pada 1962 Umnolah yang sebenarnya menjadi dalang membeli dan memujuk ahli-ahli dewan dari Pas supaya berpaling tadah dan menyertai mereka. Kita juga tahu Umno menggunakan taktik yang sama di Kelantan selepas pilihan raya umum 2004 tetapi gagal. Di Sabah juga Umno menjadi dalang di sebalik perletakan jawatan oleh kerajaan PBS setelah ahli-ahlinya menyeberang ke pihak Barisan. Begitu juga dengan undi tidak percaya di Sarawak pada 1966 yang sebenarnya didalangi oleh Perikatan yang mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Stephen Kalong Ningkan. Ini diikuti dengan apa yang dilakukan oleh kepemimpinan Umno untuk menjatuhkan Datuk Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor pada 1976. Melihat kepada ini semua sebenarnya Umno dan Barisan Nasional tidak punya alasan untuk mempertikai dan menolak, sama ada usul undi tidak percaya atau lompat parti. Mereka biasa dan pernah melakukannya. Tetapi jelas kali ini kedua-dua cara itu tidak selari dengan kedudukan dan kemelut yang mereka hadapi. Sebab itu Umno meronta-ronta dan cuba melepaskan diri: dulu orang yang lain jadi mangsa tetapi kali ini mereka sendiri yang di dalam bahaya.

Dalam kemelut politik ini apa relevannya pembubaran dewan sebagai penyelesaian atau jalan keluar?

Pembubaran dewan bermaksud pilihan raya. Bagaimanapun di sisi undang-undang ini adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kuasa ini adalah kuasa budibicara dan ini bermakna kerajaan tidak mempunyai cara untuk memaksa atau mempengaruhi baginda. Dengan senario yang kita lihat di atas pilihan raya tidak perlu.
Di sisi undang-undang pilihan atau alternatif ini perlu diputuskan mengikut kenyataan dan senario yang ada. Ini tidak boleh dilakukan sesuka hati. Yang jelas pilihan raya memakan biaya yang besar dan ia harus dielakkan sedapat yang mungkin. Selain itu saya ragu kita dapat mengadakan sebuah pilihan raya yang adil dan telus. Ini juga perlu dipertimbangkan. Melihat kepada kepincangan yang ada di dalam sistem pilihan raya kita faham mengapa SPR dan Barisan begitu bersungguh-sungguh mahukan ia diadakan.
Bagaimanapun apabila harga barang dan harga petrol naik mereka tiba-tiba membisu. Saya fikir mereka sedar bahawa dengan perubahan senario pilihan raya tidak lagi menguntungkan mereka. Malah mungkin berbahaya dan mungkin membawa “maut”. Apa pun saya tidak hairan jika kerajaan Barisan memikirkan soal kepentingan mereka kerana mereka adalah ahli politik. Tetapi wajarkah pihak SPR juga berfikiran begitu?
SPR sepatutnya membuat keputusan berdasarkan undang-undang. SPR tidak harus menari mengikut gendang Barisan. Saya terkejut apabila SPR bercakap soal pilihan raya yang jelas disukai oleh Barisan sebelum harga petrol menjulang naik

Rafidah Juga BOLEH DIDAKWA Kalau Ikut Jejak Yong Teck Lee


Oleh TARMIZI MOHD JAM

Sri Gombak, 27 Jun:
KETUA Wanita Umno, Dato’ Sri Rafidah Aziz juga akan didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sekiranya beliau bertindak keluar parti menentang Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi seperti yang dihadapi oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hanifa Maidin, menegaskan tindakan BPR memanggil Yong ke pejabat badan itu di Sabah untuk disoalsiasat berkenaan pembayaran RM5 keuntungan daripada penjualan saham-saham yang dimiliki sebuah syarikat milik kerajaan negeri kepada agen-agen pilihan raya sewaktu beliau mengetuai Sabah pada 1996, boleh dianggap sebagai ancaman kepada tokoh-tokoh lain untuk meninggalkan BN.
Kerjaan Bn bakal tumbang jika sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat, atau turut menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri bersama-sama 82 ahli parlimen pembangkang.
“Mengapa sekarang baru disoalsiasat. Kes ini sudah 10 tahu berlalu. Adakah kerana dia bertindak keluar komponen BN dan menentang PM, maka tindakan ke atasnya dipercepat atau akan diambil?” tanya beliau.
Hanipa, yang juga seorang peguam berkata, jelas dari apa yang terjadi dari kes ini, BPR masih lagi dijadikan alat untuk mengancam musuh-musuh politik Perdana Menteri agar menutup mulut atau diambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
“Bukan sahaja Rafidah, malah orang seperti Rahim Tamby Chik juga mungkin terpaksa melutut dan berdiam diri bagi mengelak kes-kes lamanya terbongkar jika bertindak menentang Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau yang dihubungi yakin, Yong antara pemimpin BN yang berani untuk berdepan risiko politik dari tindakannya meninggalkan BN berbanding pemimpin-pemimpin lain yang pernah diuar-uarkan terbabit dengan skandal rasuah.
Hanipa mengulangi dengan tegas agar BPR diletakkan terus di bawah pengawasan Parlimen dan tidak lagi terikat dengan kepentingan Perdana Menteri seperti hari ini. Katanya, ia bertujuan untuk mengawasi segala salah laku rasuah di kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan secara telus.

Pakatan perlu JALAN PINTAS untuk bentuk kerajaan?


By TARMIZI MOHD JAM

Selayang, 27 Jun:
PAKATAN Rakyat perlu memikirkan jalan yang lain untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Begitulah pendapat Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas pelbagai masalah prosedur yang dibangkitkan oleh para penyokong Barisan Nasional. Aziz berkata Perlembagaan sendiri tidak menyebut dengan jelas di dalam Perkara 43(4).
“Apa yang peruntukan tersebut mahu ialah sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti di dalam dewan maka beliau mesti meletakkan jawatan bersama dengan seluruh anggota kabinetnya,” jelas beliau.
Menurut beliau, kebiasaannya, sebagaimana yang telah berlaku sebanyak tiga kali di Malaysia setakat ini – 1966, 1976 dan 1977 – penarikan sokongan itu dibuat dengan mengusulkan undi tidak percaya.
Bagaimanapun, kata Aziz lagi, oleh kerana kerajaan yang ada dikenali dengan sebuah kerajaan yang tidak komited dengan kedaulatan undang-undang maka Pakatan Rakyat perlu memintas mereka dengan mengisytiharkan penarikan sokongan itu di luar dewan.
Pakar perlembagaan itu berkata cara ini dibenarkan oleh undang-undang sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Privy di London pada 1963. Dalam kes Adegbenro lawan Akintola itu hakim-hakim di majlis tersebut menerima perisytiharan hilang kepercayaan yang dibuat di luar dewan.
“Sebaik-baiknya cara yang paling bermaruah ialah dengan mengusulkan undi tidak percaya. Bagaimanapun di dalam keadaan yang ada sekarang Pakatan perlu bijak kerana jika tidak mereka akan ditewaskan oleh prosedur dan formality yang memang telah menjadi taktik kerajaan yang ada dalam pelbagai isu,” tegas Aziz.
Profesor undang-undang itu berkata Pakatan boleh menyenaraikan nama sekurang-kurangnya 112 orang ahli parlimen yang bersama mereka dan menyembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong bersama dengan calon atau beberapa calon Perdana Menteri untuk diperkenankan sebagai ketua kerajaan persekutuan yang baru.
Aziz berkata sebuah kerajaan baru yang bebas dari pelbagai keraguan dan spekulasi perlu supaya negara dapat bergerak ke hadapan.
“Adalah malang kerana selepas lebih tiga bulan kita mengadakan pilihan raya, kita masih tertanya-tanya apakah kerajaan yang ada sekarang akan kekal atau sebaliknya,” katanya lagi.
Beliau berkata Barisan Nasional boleh juga membuat langkah yang sama. Apa pun, Aziz menambah, adalah lebih baik jika kesemua mereka yang memberikan sokongan itu tampil ke muka dan memberi pengakuan sokongan dan jaminan tidak akan belot.

Jangan RUNDING Umno, Jahanam Kita (PAS)! - Nik Aziz


By MUHD NAIM

Kota Bharu, 27 Jun:
Harakahdaily melaporkan, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan parti itu akan menghadapi masalah apabila meneruskan cadangan berunding dengan Umno.
"Mengadakan pakatan PAS dan Umno sebagaimana sebelum ini akan berlaku seperti di Kelantan pada tahun 1970-an di mana wujudnya Berjasa dan Bebas pada waktu itu.
"Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan Umno, jahanam habislah.. bahkan Muktamar PAS yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong.
"Oleh yang demikian saya ulangi dan tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersama beberapa pemimpin lain bergegas ke Kuala Lumpur petang tadi bagi menghadiri mesyuarat tersebut.
Menurutnya mesyuarat itu akan membuat keputusan berhubung dakwaan kononnya akan berlaku kerjasama PAS dengan Umno.
"Masalah besar iaitu perpecahan dalam PAS sebagaimana sebelum ini akan berlaku akibat kerjasama seperti yang dijalinkan suatu ketika dahulu," ujarnya.
Sedangkan kata beliau tokoh-tokoh Umno Kelantan telah menyertai PAS sebelum pilihan raya umum yang menggambarkan PAS kini semakin mendapat sokongan semua pihak.
Tambah beliau rakyat Kelantan di luar negara juga turut menyatakan sokongan terhadap PAS kerana mereka yakin terhadap perjuangan parti itu.

TG Nik Aziz akhiri usaha PAS Rundingi Umno


Oleh MOHD SHAH RASHID

Taman Melewar, 27 Jun:
Penarik Beca yang membongkar usaha beberapa pemimpin PAS untuk mengadakan kerjasama PAS dengan Umno berasa lega dengan kenyataan berani Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat agar PAS menghentikan usaha tersebut kerana ia akan menjahanamkan parti.
Ulasnya, Utusan Malaysia hari ini melaporkan berita bertajuk "Pas tidak boleh berunding dengan Umno - Nik Aziz". Antara lain, Tok Guru yang dikasihi berkata:
''Saya nak tegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perjumpaan dan perundingan dengan Umno kerana masalah besar (perpecahan) akan berlaku dalam parti''.
Saya mempersembahkan kesyukuran kepada Allah. Hanya itu sahaja harapan saya sebelum ini - tidak ada persepakatan politik antara PAS dan Umno.
Oleh kerana semua orang adalah manusia biasa, saya merayu kepada Allah s.w.t. yang dikasihi agar Ia menjadikan sikap Tok Guru itu sikap yang kebal dan tahan uji. Yang penting ialah tidak berlaku persepakatan politik antara PAS dan Umno.
Seperti yang nyatakan, saya mula mendapat tahu mengenai perundingan itu beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu (saya tak ingat dengan tepat berapa bulan). Perkara itu diceritakan oleh seorang menteri (tidak dilantik semula sebagai menteri selepas pilihan raya umum lalu) dan seorang timbalan menteri (dilantik sebagai menteri penuh selepas pilihan raya umum lalu).
Seorang menteri besar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno yang secara kebetulan saya temui juga memberikan isyarat mengenai perkara itu. (Semuanya kebetulan. Kebetulan jumpa, kebetulan tahu).
Selepas itu, saya adukan perkara itu kepada tiga orang pemimpin PAS. Saya tidak tahu dan tidak peduli sama ada mereka percaya kepada saya atau tidak.
Tidak lama selepas itu, Muda Mohd Noor menulis berita Malaysiakini bertajuk "PAS-Umno bincang isu Melayu-Islam" (lihat pandangan Allahyarham Rustam A Sani bertajuk "Perundingan belakang tabir PAS-Umno?"). Saya terlupa nak simpan laporan awal yang belum dipinda. Yang ada kini sudah dipinda.
Saya tak sempat lagi nak bersembang panjang dengan Muda walaupun beberapa perkara telah beliau beritahu kepada saya. Persoalan penting untuk ditanya, berapa kali Muda tersalah petik atau misquote orang?
Kalau Zubaidah Abu Bakar yang menulis berita bertajuk "Pas will not 'sleep with the enemy' again" tahu, kalau Raja Petra Kamarudin tahu, kalau Mat Saman Kati tahu dan lebih dari itu, kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu (itulah yang diberitahu oleh seorang tokoh peringkat pertengahan Keadilan yang bersembang panjang untuk mengail maklumat dari saya walaupun akhirnya saya pula yang menjala maklumat dari beliau), takkan saya tak tahu sikit kerana saya menyelongkar maklumat mengenai perkara itu jauh lebih awal sebelum Muda menulis berita Malaysiakini itu.

BACAAN PENUH DI PENARIK BECA.COM

Tuesday, June 24, 2008

YB Ibrahim Ali "merajuk" di Parlimen?


Oleh ISWAN ZAMRI

Kuala Lumpur, 24 Jun:
Mstar melaporkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali 'merajuk' setelah beberapa kali bangun untuk membahaskan usul kenaikan harga minyak tetapi tidak diberi peluang.
Ibrahim seolah-olah merajuk apabila untuk kali keenam beliau tidak diberi peluang berbahas walaupun setiap kali beliau adalah antara yang terawal bangun, sebaliknya ahli Parlimen Ledang Hamim Samuri diberi peluang oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Dr, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ibrahim akhirnya membangkitkan peraturan mesyuarat yang menyatakan bahawa Ahli Parlimen yang paling awal bangun sepatutnya diberikan peluang untuk berbahas.
"Tuan Yang Dipertua, saya minta ditukarkan tempat duduk saya. Saya duduk di sini, tiap kali saya bangun, tapi Yang Dipertua tak nampak sedangkan sebelum saya jadi ahli Bebas, saya adalah ahli Parlimen yang dikira kanan.
"Kalau tak mahu pakai peraturan mesyuarat saya baling saja buku ni," katanya sambil menunjukkan buku kecil peraturan mesyuarat yang dibekalkan untuk semua ahli Parlimen.
Beliau kemudian menghempaskan buku itu ke mejanya dan terus berjalan keluar dari Dewan Rakyat, tetapi masuk semula kira-kira 10 minit kemudian sebelum Hamim menamatkan perbahasannya.
Junaidi kemudian membenarkan Ibrahim untuk mengambil bahagian untuk menjadi pembahas ketujuh.

Yahya Shahri letak jawatan, dijadual jumpa Anwar hari ini


Oleh MUHD NAI'M

Shah Alam, 24 Jun:
Malaysiakini melaporkan pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Yahya Shahri meletakkan jawatannya itu atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".
Yahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang tadi, juga melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan PKR Selangor.
Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."
Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang tadi.
Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.
Abdul Khalid semalam mengirim mesej SMS kepada Yahya memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya hari ini bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."
Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai ketua perhubungan PKR Selangor.
Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACAAN LANJUT DI KLPOST.COM