Saturday, May 31, 2008

Ezam Terpaksa "Bersilat" Nafi Bukan Spy PKR

Oleh MOHD SHAH RASHID

Putrajaya, 31 Mei: Nampaknya bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor yang kembali menyertai UMNO semalam, terpaksa "bersilat" menangkis tuduhan liar kononnya beliau seorang pengintip PKR.
Ezam menegaskan bahawa beliau bukan pengintip kepada PKR.Menurut beliau, andaian yang ditimbulkan oleh segelintir pihak itu bersifat dangkal dan berniat jahat terhadapnya.
"Saya bukan spy (pengintip), sudah tentu dakwaan itu tidak benar sama sekali.
“Agenda saya (menyertai semula UMNO) adalah agenda negara dan bukannya atas tujuan tertentu atau melibatkan kepentingan mana-mana individu di dalam mahupun di luar UMNO,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Ezam, 41, ditanya mengenai tanggapan pihak tertentu bahawa penyertaan semula beliau ke dalam UMNO adalah bagi memudahkannya bertindak sebagai ‘pengintip’ untuk parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan UMNO.

Bacaan selanjutnya layari utusan online

Terhukumkah Mereka Oleh Lembaga Disiplin Umno?

Oleh MUHAMMAD NAIM

PUTRAJAYA, 31
Mei: Tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia semalam cukup menyenakan pembaca. Beranikah Umno mahu mengambil tindakan disiplin kepada tiga "singa" utamanya kini?
Seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej UMNO di mata rakyat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketiga-tiganya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman didapati menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.
“Pekeliling mengenai larangan itu bukan sahaja telah diedarkan kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua-ketua bahagian sejak sebulan lalu, malah ia turut dikuatkuasakan ke atas semua parti komponen Barisan Nasional (BN).
"Ia satu arahan melarang pertelingkahan parti dibangkitkan dalam media tetapi ketiga-tiga mereka ini melanggarnya dengan bergaduh macam budak kecil sehingga mencemarkan imej UMNO.
“Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin dan bentuk hukuman terserah kepada badan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta BN mengambil tindakan terhadap Mukhriz dan Tajuddin kerana mengkritik kerajaan termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka.
Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Semalam, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.
Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.

Menteri Belia & Sukan Desak Mokhzani Letak Jawatan!

Oleh M FADHLOL HADI

Kuala Lumpur, 31 Mei: Agendadaily.Com melaporkan "perselisihan" Menteri Belia dan Sukan, Ismail Sabri dengan Pengerusi Super GT Antarabangsa, Mokhzani Mahathir.
Senarionya begini. Majlis pelancaran Super GT Antarabangsa Malaysia anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah diadakan di podium Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya petang Jumaat.

Hadir pada majlis itu ialah Datuk Mokhzani Mahathir selaku Pengerusi SIC.Majlis itu sepatutnya bermula jam 4.30 petang dan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob.
Di tingkat atas bangunan kementerian itu Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet kementeriannya bermula jam 3 petang.Ia berlarutan hingga jam 6 petang.
Di bawahnya pula setelah menunggu hingga jam 5 petang majlis dimulakan tanpa kehadiran menteri. Akhirnya mengapa Ismail Sabri tidak muncul walaupun majlis berkenaan cuma dibawah bangunan itu saja terjawab semasa sidang akhbar selepas mesyuarat pasca-kabinetnya.

Bacaan selanjutnya layari agendadaily.com

Liciknya Game Ezam Memaut Pak Lah...

Analisis Politik Terkini
Oleh MOHD RASHIDI HASSAN

Kira-kira tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan Februari lepas, Ezam berkunjung ke pejabat Harakah, menemui Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman.
Jika tidak silap, hari itu hari Ahad. Hari cuti. Banyak pejabat ditutup, begitu juga dengan Harakah. Hanya dua tiga orang sahaja yang bekerja.
Kami mencadangkan perjumpaan dibuat pada hari lain, namun beliau tetap mahu berjumpa katanya, atas urusan yang amat penting.
Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemberita, Wan Nordin Wan Yaacob tentang kehadiran Ezam bertemu dengan Lutfi, tetapi tidak dapat turut serta kerana ada tugasan di Alor Setar.
Butiran mengenai pertemuan tersebut dimaklumkan oleh Lutfi dalam mesyuarat Jabatan Pengarang selepas itu.
Dalam pertemuan tersebut saya dimaklumkan Ezam begitu beriya-iya meminta dibekalkan bahan-bahan untuk membantunya berkempen membantu pembangkang, khususnya PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Bacaan selanjutnya layari harakah.net

Mahathir Berucap Di Hotel Cyristal Crown, PJ Pagi Ini

Oleh TARMIZI MOHD JAM

Kuala Lumpur, 31 Mei: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan "mendedahkan" secara terbuka akan kepincangan Umno demi menyelamatkan orang Melayu dan negara.
Sesi dialog dengan para penyokong dan orang ramai juga turut diadakan pada program ini yang akan diadakan di Hotel Cyristal Crown, Petaling Jaya, jam 9.o0 pagi ini.
Mahathir dijangka akan mengulas panjang berkenaan tindakannya keluar Umno minggu lalu sebagai usaha mantan PM selama 22 tahun itu mendesak dan mengasak Perdana Menteri, Abdullah Badawi meletakkan jawatan.
Orang ramai dipelawa hadir untuk mengikuti ucapan beliau yang dijangka panas dan pedih bagi yang menyanjung tinggi dan bekerja bersama-sama Pak Lah hari ini.

Saya Telah Lama Dinyah Dari Umno - Mahathir

Menung Ujung Minggu
Oleh TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Sebenarnya sejak saya melantik Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dan dianya mengisi jawatan itu, Umno tidak pernah layan saya sebagai ahli Umno, jauh sekali sebagai bekas Presiden Umno.
Dari awal lagi Menteri-Menteri Umno, pemimpin-pemimpin Umno dilarang daripada berjumpa dengan saya atau menghadiri apa-apa majlis di mana saya mungkin berucap.
Menteri yang saya lantik dahulu, sekarang mengecam dan mengeluar kata-kata kesat kepada saya.
Umno tidak dibenar menjemput saya dan jika sesiapa cuba jemput juga, mereka dipanggil oleh Menteri Besar dan juga polis supaya tarik balik jemputan. Selepas 14 jemputan dipaksa tarik balik tiada siapa yang berani jemput saya lagi. Ahli-ahli Umno tidak dibenar hadir apa-apa majlis di mana saya akan berucap, dan mereka pun patuh akan arahan ini.


Bacaan selanjutnya layari harakahdaily.net

Anwar Setuju Boikot Utusan dan Mingguan Malaysia

Oleh M FADHLOL HADI

Kuala Lumpur, 31 Mei: Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengambil keputusan memboikot Utusan dan Mingguan Malaysia sebermula 27hb Mei lepas.
Demikian ditegaskan oleh Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dalam blognya. Sebelum ini, katanya, melalui nukilan di blog ini telahpun memikirkan gesaan yang sama.
Anwar mendakwa, akhbar tersebut terkait dengan pendekatan perkauman melampau, meneruskan kempen tidak beretika dan mempertahankan rasuah dan kezaliman pimpinan Umno-BN.
"Kita berupaya memberikan tamparan kuat terhadap media picisan sebegini dan saya menyeru pengertian dan sokongan sdr/i sekalian," tegas beliau yang juga mantan TPM.

Friday, May 30, 2008

Apabila Imam Dijerat Skim Hadiah SMS AF6!

Mimbar Blog Jumaat
Oleh USTAZ ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN

Adakah jika tawaran wang RM 14,000 itu betul-betul diberikan tanpa tipu, adakah anda fikir ia halal?
Tidak sama sekali kerana ia hasil Akademi Fantasia, satu rancangan hiburan yang bercanggah dengan Islam tanpa khilaf lagi. Namun Tuan Imam masih berminat? Kekesalan saya yang pertama. Nabi s.a.w bersabda:-

يأتي على الناس زمان لا يبالي ‏ ‏المرء ما أخذ منه أمن الحلال أم من الحرام

Ertinya: "Akan datang satu zaman dimana seorang individu itu tidak lagi memikirkan dari mana sumber perolehan hartanya, samada dari yang halal atau haram." --(Riwayat Al-Bukhari)

Kes ini menunjukkan pengaruh duit free dan cepat, sangat mudah memabukkan orang ramai hari ini. Salah satu ciri mabuk adalah aqal menjadi kurang waras dan tidak dapat berfikir dengan tenang dan tepat.
Saya kesal, kerana RM 14,000 duit free yang ditawar telah mampu dengan mudah menjadikan seorang ahli agama LEMAH pertimbangannya sehingga ‘terlupa' untuk menunaikan hak-hak Islam seperti menyemak kontrak, memastikan apakah asal usul hadiah free ini? apakah hukumnya ?
Dan juga bagaimana kewibawaan sms tersebut sebelum menyertainya atau memberikan kerjasama (memberikan nombor akaun).
Terang dan nyata sms itu datang dari luar Negara, apa kena mengena Indonesia dengan AF yang dianjurkan di Malaysia, oleh salah sebuah stesyen televisyen swasta dari Malaysia?
Namun, kemabukan wang cepat menutup segala pintu kewarasan. Saya sangat bimbang.


Bacaan seterusnya layari zaharuddin.net

Birokrasi Melampau Patut Ditangani Segera - PPUMM

Kutipan Interbiu Bisnes
Oleh MOHD SHAH RASHID

Kuala Lumpur, 30 Mei: Memang benar, terdapat masih banyak birokrasi pada urusan mendapatkan pembiayaan dalam bisnes pertanian termasuk Bank Pertanian (sekarang Agro Bank)sendiri.
"Ada banyak pengalaman yang saya tempuhi. Kita tolong ahli-ahli dapatkan pinjaman bank. Mereka sediakan kertas kerja. Bagi saya, kertas kerja itu sudah cukup lengkap. Saya akui ada juga yang diterima. Tetapi banyak yang ditolak. Apa masalahnya?," tegas Presiden Persatuan Peniaga Usahawan Melayu malaysia (PPUM), En. Baherom MT Hasyim kepada Majalah Iktisad baru-baru ini.
Jelasnya, berdasarkan pengamatannya, masalah yang paling utama di mana-mana bank ialah sikap pegawai-pegawainya yang langsung tidak mahu memberikan pembiayaan kepada penternak, petani dan peniaga Bumiputera.
Mereka macam ada satu tanggapan nagetif kepada Bumiputera. Agaknya tak percaya… Takut-takut, projek atau perniagaan itu lingkup akhirnya.
"Pada saya, pegawai-pegawai bank hanya “mempermainkan” pemohon sampai mereka putus asa. Buat pinjaman, tak pernah dapat. Dan isu ini rasanya sudah menjadi rahsia umum kepada peniaga dan usahawan di negara kita.
"Ada sesetengah pemohon sudah menyediakan syarat-syarat yang ditetapkan oleh bank tetapi pihak bank hanya menolak permohonan tersebut dengan alasan dangkal “tidak yakin dengan projek” disediakan atau yang bakal dijalankan.
"Oleh sebab itu matlamat kerajaan menjadikan “Pertanian Suatu Perniagaan” tidak tercapai. Agak lembab. Peruntukan banyak tetapi tidak sampai kepada mereka yang berkehendak. Akhirnya, mereka yang mahu menjadikan “Pertanian Satu Perniagaan” terpaksa melupakan hasrat itu dan kembali bekerja makan gaji atau menganggur," tegas beliau lagi dalam interbiu khas majalah tersebut bersamanya di Sri Manjung.

Bacaan seterusnya layari blog sanggahtoksago.com

PAS Pelawa YB Umno Sertai Pakatan Rakyat

Oleh M FADHLOL HADI

Kuala Lumpur, 30 Mei: Minggu lalu, PAS mengajak para pemimpin Umno supaya membuat perubahan dengan cara baru iaitu menyertai usaha pembentukan kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata seperti yang dilapor Mingguan SIASAH, penyertaan para pemimpim Umno ini penting bagi memastikan tertegaknya kerajaan baru yang berasaskan kepimpinan Melayu Islam serta perpaduan dan keadilan untuk semua kaum di negara ini.
Untuk melaksanakan hasrat itu, katanya, beliau sentiasa terbuka untuk menemui mana-mana pihak bagi menyatakan hasrat PAS itu.

Abdul Hadi berkata demikian dalam kemelut peralihan kuasa yang sedang melanda negara ini sekarang ekoran pengisytiharan keluarnya bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir dari parti itu.
Bagi Abdul Hadi, parti Umno sudah sampai umur bersara dan para pemimpinnya perlu mencari pendekatan dan platfom baru.

Bacaan seterusnya layari siasah online

Pak Lah Boleh Sahaja Tangkap Mahathir?

Bicara Menara KLCC
Oleh TARMIZI MOHD JAM

ADAT katanya, Tun Mahathir adalah manusia paling lengkap di negara ini sekalipun telah meninggalkan kerusi Perdana Menteri yang panas.
Sewaktu pemerintahannya selama 22 tahun di serambi kuasa, beliau memiliki serba-serbi, dan sarat dengan asam garam dan pahit getir kehidupan.
Ketika kuasa dalam genggamannya dulu, Mahathir menguasai bukan sahaja cabang eksekutif, malah kehakiman dan legislatif. Bahkan, melalui pindaan Perlembagaan, Raja-raja juga dijadikan terpaksa tunduk kepada nasihat PM dan Menteri-menteri Besar.
Famili Mahathir amat beruntung. Anak-anaknya menjadi figur tersohor macam Marina yang jaga AIDS, Mirzan dengan industri perkapalannya, Mokhzani pernah jaga duit Pergerakan Pemuda Umno dan kini keluar dari parti itu bersama ayahnya, dan Mukhriz kini ahli Parlimen Jerlun yang lantang mengecam Pak Lah.
Ipar duai Mahathir juga tidak kurang hebatnya. Mari kita toleh semula siapa mereka. Tan Sri Ahmad Razali pernah jadi MB Selangor dan akhirnya jaga Tabung Haji, Tan Sri Hasyim pernah jadi boss SUKOM, Tan Sri Ismail pernah jaga Bank Negara.
Dalam Umno dulupun, Mahathir telah melakar sejarah sebagai Presiden paling lama dan paling banyak melakukan rombakan. Empat orang pernah jadi Timbalan Presiden dalam pelbagai warna, Musa, Ghafar, Anwar dan Pak Lah.
Setiausaha Agung juga silih bertukar antaranya Sanusi, Tok Mat, Sabaruddin, Khalil. Banyak juga Naib Presidennya yang rebah.
Tindakan keluar Umno oleh Mahathir dua tiga hari lalu antara rekod baru yang diciptanya. Dulupun sudah banyak rekod dibina tersendiri. PM paling lama. PM paling ramai TPM. PM paling besar jumlah pemimpin yang silih berganti menganggotai kabinetnya.
Di zamannya, ramai pembesar negara yang terpecat dan dipecat. Siapa lagi kalau bukan Musa Hitam, Ghafar Baba, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Mufti Selangor dan Anwar Ibrahim.
Sepanjang kuasa digenggam erat, negera terus dilanda krisis; Krisis Perlembagaan (1983-84), krisis politik Sabah (1985-86), krisis kepimpinan Umno (1987-88), krisis kehakiman (1988), krisis Raja-Raja (1992-93), krisis Umno II (1993), krisis Sabah II (1994), krisis alam sekitar (1995-96), dan krisis ekonomi, sosial dan politik (1997-terseret hingga kini).
Agenda ekonomi Mahathir juga nampak mantap. Beliau telah berjaya membawa Malaysia ke forum utama dunia. Sekejap ada Dasar Pandang Ke Timur, kemudian hubungan dagang dengan negara-negara dunia melalui Forum Selatan-Selatan, EAEC, G-15, D-8 dan Apec.
Paling teruk, Mahathir berani melanyak taboo umat Islam dengan mengadakan hubungan dagang dengan negara haram Israel.
Lantangnya Mahathir diperingkat antarabangsa turut mengeruhkan hubungan Malaysia dengan Singapura, Australia, Amerika Syarikat, Filipina, Indonesia dan IMF.
Pada era Mahathir jugalah munculnya projek mega seperti KLIA, Jambatan Pulau Pinang, Menara Kembar Petronas, Menara KL, Litar Lumba F-1 Sepang dan Putrajaya.
Melalui semangat "Malaysia Boleh" yang dilagangkan Mahathir, hampir tiada ceruk lagi di dunia ini yang tidak dijelajah (jajah) oleh anak Malaysia. Di Puncak Everest, Kutub Utara, Padang Pasir Sahara, bahkan tujuh benua dan tujuh lautan.
Dalam penulisan popular, Mahathir telah dijadikan ikon kritikan para penulis. Puluhan buku politik disasarkan kepada beliau.
Senarai penulis politik yang kontra dengan Mahathir juga agak panjang. Mereka Subky Latif, SH Alattas, Lutfi Othman, Daud Ibrahim, Kamal Amir, Zaharin Yassin, Raja Petra, Yahya Ismail, Koya Kutty, Shukor Harun, MG Pillai, Abu Bakar Rashid, Ann Wan Seng, Rustam A Sani, Ibnu Muslim, Sabri Zain, Fathi Aris dan ramai lagi termasuk saya.
Karyawan tersohor juga turut menolak Mahathir. Beliau dijadikan subjek karya yang kreatif. Toleh kembali hasil karya Disman, SN Shahnon Ahmad, Zunar, Rossem, Azizi Abdullah, Razali Endun dan lain-lain.
Aliran ulama turut mempopularkan Mahathir sebagai pemimpin yang lantang mengkritik Islam sekalipun berusaha menyembunyikan diri di sebalik Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam.
Mahathir ada sejarah hitam tersendiri dengan Ustaz Ahmad Awang, Dato' Ismail Kamus, Dato' Ishak Baharum, Dato' Dr. Harun Din, malah dengan Syeikhul Arqam, Ashaari Muhamad.
Ahli akademi dan profesional juga jadi "gurausenda" Mahathir sepanjang berada di serambi kuasa. Beliau acapkali bercanggah idea dengan Prof. Dr. Jomo, Dr. Hassan Ali, Dr. Barjoyai, Prof. Hamdan, Dr. Chandra dan Dr. Sidiq Fadhil.
Ringkasnya, Mahathir sudah berjaya mengadakan segala-gala yang dikehendakinya; kejayaan dan kegawatan, kawan dan lawan, puji dan puja, caci dan cerca, selesa dan krisis, bahagia dan derita.
Tapi nampaknya si fulan bernama Tun Mahathir Mohamad ini masih belum puas! Sedangkan, rakyat sudah tidak tertanggung melalui segala kepincangan pemerintahan beliau 22 tahun.
Apa lagi, agaknya yang Mahathir mahu dengan tindakan keluar Umno itu? Jika Pak Lah undur dari kerusi panas PM, apa pula yang Mahathir perolehi?
Tentu sekali ada yang dicita oleh mantan PM ini sehingga sanggup menongkah arus perdana dan menujah parti sendiri. Sikap beliau yang amat cinta kepada "kelainan" terus membara sekalipun sudah tidak berkuasa.
Keberaniannya juga keluar Umno menjadi satu lagi bukti beliau tidak gentar dengan pelbagai dakwaan, tindakan mahkamah atau report polis. Mahathir merasakan dia tidak bersalah. Dia cukup yakin!
Bagi saya, jika keyakinan itu tiada, sudah tentu hilang sengat negarawan itu, tiada lagi kecaman, dan bukan sahaja tidak keluar malah untuk berniat keluar dari Umnopun, rasanya tiada terlintas dikotak fikirnya.
Mahathir bersedia menghadapi segala kemungkinan ketika beliau menjadi timun dan pisau dipegang oleh musuh nombor satunya, Pak Lah.
Pak Lah boleh saja menyeretnya ke mahkamah dan memenjarakannya, jika ada kes yang boleh dirobek kembali.
Pendek kata, Pak Lah boleh berbuat apa saja termasuk mengulangi "konspirasi berprofil tinggi" seperti yang dialami Anwar dulu.
Apakah akhiran episod ini? Benarkah Mahathir ada beberapa strategi lagi untuk menggulingkan Pak Lah dalam tempoh terdekat bersama anaknya Mukhriz yang degil dan keras kepala sepertinya itu.
Tunggu... Berikan sedikit masa untuk Mahathir, Siti Hasmah, Mokhzani dan Mukhriz menyediakan plan bertindak pintarnya untuk mentalqinkan Pak Lah!!

SPR Sudah Sedia Hadapi Pilihan Raya Mengejut!

Oleh IRWAN ZAMRI

Kuala Lumpur, 30 Mei: LEBIH 140,000 pekerja yang secara langsung terlibat dalam pilihan raya umum ke-12 telah dinasihatkan agar bersedia untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan kemungkinan pilihan raya umum tergempar.
Demikian laporan G. Manimaran dan Zanariah Abd. Mutalib dari mSTAR Online yang turut disiarkan sepenuhnya oleh blog sanggahtoksago.blogspot.com.
Sambil menegaskan tidak mahu membuat spekulasi mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, beliau telah meminta mereka supaya bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan.
Beberapa pemerhati politik, dengan mengambil kira senario politik semasa, tidak menolak kemungkinan pilihan raya boleh diadakan.
"Saya tidak mahu membuat spekulasi, kami tidak boleh membuat spekulasi.
"Bagaimanapun kami bersedia untuk apa jua kemungkinan. SPR berupaya untuk menguruskan pilihan raya (tergempar jika diadakan) kerana kami mempunyai segara infrastruktur (untuk mengadakan pilihan raya)," kata Abdul Rashid.

Bacaan seterusnya layari blog sanggahtoksago.com

Mengapa Hisyamuddin Melenting Syor PKPIM?

Oleh NURHIDAYAHTUL JANNAH

Kuala Lumpur, 30 Mei: Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Aiman Athirah Al-Jundi dalam satu kenyataannya kepada media hari ini menegur sikap jumud Menteri Pelajaran, YB. Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia agar bersikap lebih terbuka dengan cadangan PKPIM, yang mahukan pakaian sekolah bagi pelajar perempuan diberi perhatian.
Apa salahnya sekiranya PKPIM yang merupakan sebuah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (persatuan berdaftar) cuba mengambil sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap kelompok masyarakat mereka iaitu masyarakat pelajar?
DMPP sedar bahawa pakaian bukanlah merupakan satu-satunya faktor terjadi dan seterusnya meningkatnya jenayah seksual. Ada banyak faktor yang terlibat bagi keadaan itu.
Namun, DMPP menegaskan bahawa faktor pemakaian seseorang perempuan masih tergolong sebagai antara faktor pemangkin kepada berlaku dan meningkatnya jenayah tersebut.
Justeru, bagi menghadapi apa jua krisis sosial dalam masyarakat termasuklah jenayah seksual misalnya, maka setiap faktor perlu dikenalpasti.
Manakala tindakan bagi menangani krisis tersebut mesti dibuat dengan cara menanganinya satu persatu dan PKPIM sedang berusaha membantu kita bagi menangani punca masalah ini dengan mengambil tanggungjawab ke atas faktor pakaian.
DMPP percaya bahawa adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak melenting terhadap cadangan PKPIM ini. Mengapa perlu setiap kali kita bicara soal pakaian maka kelihatan beberapa pihak akan mengambil sikap ”Personal” mempertahankan kebebasan diri sebagai perkara yang lebih utama.
Bahkan tidak kurang yang akan menolaknya mentah-mentah dengan seterusnya memberi pelbagai faktor lain yang lebih utama menjadi punca.

Bacaan seterusnya layari tranungkite.net

Ezam Masuk Semula Umno Mesti Ditapis MT

Oleh MUHAMMAD NA'IM

KANGAR, 30 Mei: Utusan Malaysia melaporkan, penyertaan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO perlu dibincang dan dipertimbangkan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Ezam pernah meninggalkan parti dan menyertai parti pembangkang.
"Beliau tidak boleh diterima secara automatik sebagai anggota parti kerana MT perlu melihat rekod politiknya.
"Kalau dia orang baru dan tidak ada rekod, MT tiada masalah untuk menerimanya tetapi kalau seseorang itu ada rekod atau misalnya pernah meninggalkan parti atau dipecat daripada parti lawan, selepas itu nak masuk semula UMNO, itu kena bawa kepada MT.
"Dalam perlembagaan parti, MT ada kuasa untuk menerima atau menolak permohonannya," katanya pada sidang akhbar selepas memberi taklimat tataetika UMNO kepada pemimpin UMNO Perlis di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sultan Perkenan Husam Jalankan Tugas MB

Oleh MOHD SHAH RASHID

Kota Bharu, 30 Mei: Blog Husammusa.Com menjelaskan bahawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, memberi perkenan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, untuk menjalankan tugas Menteri Besar Kelantan, ekoran percutian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata Sultan Kelantan memberi perkenan petang kelmarin bagi membolehkan Husam memikul tanggungjawab itu.
Katanya, surat perkenan Tuanku itu dihantar ke Pejabat Menteri Besar untuk diserahkan kepada Husam, semalam.
“Lewat petang semalam (kelmarin), kami menerima surat perkenan Sultan Kelantan untuk membolehkan Husam menjalankan tugas Menteri Besar. Husam bukan pemangku Menteri Besar, tetapi menjalankan tugasnya saja,” katanya dalam penjelasan di sini, semalam.

Sunday, May 25, 2008

Batu Puteh & "Bangangnya" Pemimpin BN!

Oleh SYAIFUL BUKHARI

Kuala Lumpur, 25 Mei: Blogger penarikbeca.blogspot ingatkan kepada para pemimpin BN, kalau nak redakan rasa tidak puas hati rakyat pun, janganlah buat kenyataan bangang.
Surat khabar pula, tegasnya, janganlah ambil kenyataan dari si bangang. Kalau tak ada yang tak bangang yang bercakap, lagi baik tulis berita batu jalan digilis lori.
Berita Harian hari ini pula melaporkan, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kelmarin yang memberi hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Semua pihak, katanya, juga diminta tidak menyalahkan sesiapa atas keputusan itu dan menerimanya dengan hati terbuka walaupun ia mengecewakan.
Wahh! Kalau pihak dia yang gagal, jangan politikkan...

Bacaan selanjutnya layari
blog penarikbeca.blogspot

Pak Lah Boleh Sahaja Tangkap Tun Mahathir?

Oleh MOHD SHAH RASHID

Kuala Lumpur, 25 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh saja menyeret Tun Dr. Mahathir Mohamad ke mahkamah dan memenjarakannya, jika ada kes yang boleh dirobek kembali setelah melihat gelagat mantan Perdana Menteri itu yang cuba mengasaknya berundur.
"Pendek kata, Pak Lah boleh berbuat apa saja termasuk mengulangi "konspirasi berprofil tinggi" seperti yang dialami Anwar dulu," tegas Blogger sanggahtoksago.blogspot pada posting terbarunya.
"Apakah akhiran episod ini? Benarkah Mahathir ada beberapa strategi lagi untuk menggulingkan Pak Lah dalam tempoh terdekat bersama anaknya Mukhriz yang degil dan keras kepala sepertinya itu," tanya beliau.
Katanya lagi, rakyat patut memberi masa yang cukup kepada Tun Mahathir, Siti Hasmah, Mokhzani dan Mukhriz bagi mereka menyediakan plan bertindak pintarnya untuk mentalqinkan Pak Lah!!

Bacaan selanjutnya layari
blog sanggahtoksago.blogspot.com

Batu Puteh Bakal Jadi Kompleks Ketenteraan?

Oleh M FADHLOL HADI

Kuala Lumpur, 25 Mei: Blogger kudakepang.blogspot. com, Datuk Ruhanie Ahmad bertanya, mustahilkah jika Pulau Batu Puteh suatu hari kelak ditukar menjadi satu kompleks ketenteraan yang canggih dan moden demi memenuhi kepentingan strategik dan kepentingan geopolitik sekutu-sekutunya di abad ke-21 di rantau Asean?
Harakahdaily yang mengutip pandangan Datuk Ruhanie Ahmad dari blognya itu, amat baik untuk bacaan semua rakyat Malaysia.
Dakwa Ruhanie, Singapura seolah-olah menuntut kedaulatan Pulau Batu Puteh berasaskan kerangka minda bahawa mana sahaja wilayah jiran tetangganya yang difikirkan strategik kepada survivalnya, boleh dituntut dan dijadikan miliknya, asalkan wujud undang-undang dan ruang perundangan yang boleh diheret hingga ke ICJ.
Kerangka minda seperti ini adalah manifestasi betapa rakus dan betapa terdesaknya pulau kecil ini untuk menguasai ruang dan bumi yang lebih besar dan luas di luar lingkungan kedaulatannya bagi menampung penduduknya yang dipercayai berkembang hingga 10 juta orang di hari mendatang.
"Insaflah," tegas mantan Ahli parlimen Batu Pahat itu sambil menyifatkan Republik pulau ini adalah sekutu Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Asia Tenggara.

Bacaan selanjutnya layari
harakahdaily.net

Anwar Persoal Ghani Patail Siasat Video Linggam

Oleh MOHD SHAH RASHID

Kuala Lumpur, 25 Mei: Penasihat PKR, Anwar Ibrahim bertanya dalam blognya, apakah kesudahan siasatan kes video Linggam yang bakal menyusuli siasatan kepada Peguam Negara Tan Sri Gani Patail?
Kini berbangkit semula, kata Anwar isu penipuan Suruhanjaya Pilihanraya dalam kes pembatalan dakwat hitam. Tan Sri Rashid dan jemaah menteri saling menuding.
"Sekali lagi peguam negara menyiasat?" sindir Anwar dalam blognya. Kreadibiliti Ghani makin tercalar apabila beliau selaku Peguam Negara gagal mempertahankan Pulau Batu Puteh dari terlepas ke tangan Singapura.

Blogdaily.Com Imarahkan Informasi Sejagat!

Oleh EDITOR TARMIZI MOHD JAM
Turut menyelenggarakan Blog Sanggahtoksago.Com

SATU lagi kerja amal. Menyusahkan minda dan fizikal. Memerah keringat, merompak masa yang kian terbatas, menginfaqkan idea untuk kepentingan bersama.
Saya cuba mengetengahkan idea untuk mengutip segala berita dan analisa pelbagai isu semasa dalam blog dan website untuk kepentingan ummah dalam mendidik pengunjung internet agar sentiasa peka dan menghormati informasi.
Dengan kemunculan Blogdaily.Com ini, diharapkan mampu membantu rakyat yang inginkan perubahan melakukan perubahan (makhal sakhti) dengan penuh pengetahuan terkini dan bukan sekadar menjadi "pak turut" seperti lembu dicucuk hidungnya.
Blogdaily.Com sangat-sangat mengalu-ngalukan limpahan artikel, komentar, pojok, berita, program dan aktiviti serta pelbagai gambar menarik diemelkan terus kepada blogdaily69@gmail.com
atau editorxkutif@yahoo.com.my.
Insya-Allah, Blogdaily.Com tidak akan menghampakan anda semua. Sokong serta dokongilah blog kerdil ini demi perubahan total serambi kuasa yang kini dimonopoli Barisan Nasional.
Saya akan aktifkan blog ini pada 1 Jun 2008, namun telah diusik sedikit paparan percubaan untuk para pengunjung budiman dan beriman. Layarilah seperti alamat di atas.
Kepada semua pemilik blog dan website, anda digalakkan untuk menyelitkan paparan alamat blog ini pada sesawang anda bagi tujuan yang satu, mengimarahkan informasi semasa kepada pengunjung.